Orang bukan Islam tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke Terengganu kerana mereka tidak terikat dengan etika pemakaiannya, kata exco pelancongan Razali Idris.
Katanya etika pemakaian dalam Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan Terengganu hanya terikat kepada pelancong beragama Islam, lapor Sinar Harian.
Bagaimanapun, katanya, pelancong bukan Islam perlu menghormati budaya dan adab masyarakat Melayu-Islam dan tidak melampaui batas.
"Pelancong bukan Islam boleh berpakaian seperti biasa yang bersesuaian dengan aktiviti hendak dilakukan.
“Sebagai contoh kalau mahu mandi di pulau-pulau peranginan, bolehlah pakai sut renang, tapi jangan pakai di tempat awam seperti Pasar Besar Payang.
“Itu memang tak boleh,” wakil rakyat Bersatu itu dipetik sebagai berkata.

Razali berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Peranakan Cina Terengganu 2023 di Kuala Terengganu Kuala Terengganu hari ini.
Sebelum ini anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang Zuraida Md Noor meminta kerajaan lebih tegas menguatkuasakan pematuhan etika pakaian dan memantau pelbagai tempat termasuk hotel, pulau, pantai dan pusat hiburan.
Sementara itu, Razali berkata, etika pemakaian yang ditetapkan bertujuan mendidik, bukan menghukum.
"Setakat ini tiada seorang pun pelancong Islam pernah dihukum kerana melanggar etika pemakaian tersebut,” dia dipetik sebagai berkata.
Gerakan kunjungi exco
Sementara itu, Gerakan turut berbincang dengan Razali berkaitan perkara itu hari ini dan berkata mereka diberi jaminan ia hanya dikenakan terhadap orang Islam saja.
Perkara itu dinyatakan dalam kenyataannya sebentar tadi.
