Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Peminjam LPPSA boleh tangguh bayaran rumah dalam pembinaan'
Diterbitkan:  Oct 11, 2023 12:57 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

PARLIMEN l Peminjam Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) boleh menikmati tempoh penangguhan selama 24 bulan bagi rumah atas tanah yang masih dalam pembinaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata, tempoh penangguhan 36 bulan pula diberikan kepada peminjam yang membeli rumah bertingkat (high rise) atau sehingga pengeluaran bayaran kemajuan perumahan kepada pemaju mencecah 95 peratus, atau mana lebih terdahulu.

Kata Sim, dalam kata lain peminjam sebenarnya tidak perlu membayar balik pembiayaan dalam tempoh penangguhan tersebut yang merupakan satu kelebihan pembiayaan LPPSA kepada penjawat awam.

“Seterusnya sekiranya projek perumahan tersebut lewat siap dan telah disahkan sebagai projek terbengkalai atau sakit oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dan Sarawak (KKTP) selepas tamat tempoh tangguh tersebut.

“LPPSA masih boleh membantu melakukan penjadualan semula bayaran balik pembiayaan dengan bayaran ansuran bulanan yang lebih rendah sekitar 20 peratus hingga 40 peratus daripada ansuran bulanan asal sehingga tempoh lima tahun atau sehingga projek rumah dipulihkan, yang mana lebih terdahulu,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sim menjawab soalan Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang bertanyakan sama ada LPPSA boleh memberhentikan sementara pemotongan gaji sementara menunggu projek perumahan yang tidak siap disambung kembali.

Dia berkata bantuan penjadualan semula bayaran balik ini telah memanfaatkan seramai 1,187 peminjam dari tahun 2016 sehingga kini.

Namun, tambahnya tiada rekod di bawah Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) bagi permohonan dan kelulusan penjadualan semula bayaran balik bagi tahun 2015 dan ke bawah.

Katanya, kaedah penjadualan semula bayaran balik dilihat lebih membantu peminjam berbanding pemberhentian bayaran balik sehingga rumah siap.

“Ini disebabkan oleh bayaran ansuran yang tertangguh akan menjadi terkumpul dan menyebabkan bayaran balik bulanan selepas rumah siap akan menjadi besar dan membebankan peminjam kelak.

“Pelanjutan tempoh bayaran balik pula akan menjejaskan perlindungan takaful atau insurans gadai janji peminjam yang mendedahkan kepada pengurangan jumlah bayaran tuntutan pampasan kematian atau keilatan berbanding baki pembiayaan sekiranya peminjam meninggal dunia.

“LPPSA juga bertanggungjawab untuk memastikan kesinambungan kemudahan pembiayaan perumahan kepada semua penjawat awam yang layak melalui kutipan bayaran balik yang kita laksanakan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS