Kaji semula undang-undang imuniti kedutaan - PSM
Kerajaan Malaysia digesa kaji semula Akta Pekerja Negara 1955 bagi memberi keadilan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di kedutaan dan konsulat asing.
Timbalan Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan berkata pegawai diplomatik boleh berselindung bawah undang-undang imuniti atau kekebalan jika mencabuli hak pekerja tempatan.
Dia berpendapat Akta Keistimewaan Diplomatik (Konvensyen Vienna) 1966 dan Akta Pertubuhan Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan)1992 bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, perlembagaan menjamin hak seseorang untuk mencari rezeki dan dilayan sama rata dalam proses keadilan.
"Undang-undang negara kita harus dikemas kini untuk membolehkan setiap rakyat Malaysia, malah mereka yang bekerja untuk negara dan organisasi asing, hak untuk menyaman di Malaysia dan mengehadkan imuniti negara-negara ini terutamanya dalam perkara seperti pemecatan yang tidak adil dan pelanggaran kontrak," katanya.
Dia berkata demikian dalam sidang media hari ini di Kuala Lumpur. Turut hadir Mazlina Musa dan Nadarajan Manickam dari Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC).
Arutchelvan merujuk keputusan mahkamah yang memerintahkan Kedutaan Amerika Syarikat membayar sebanyak RM66,000 kepada seorang pengawal keselamatan susulan pemecatan secara tidak sah 15 tahun lalu.
Dalam keputusan yang disampaikan pada 27 April lalu, Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Amrik Singh berkata Kedutaan AS gagal memberikan bukti salah laku terhadap L Subramaniam.
Menurut keputusan bertulis itu, Amrik berkata pasukan peguam Kedutaan AS mengemukakan sebahagian besar hujah mereka bahawa Mahkamah Perindustrian tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu, berbanding memberikan bukti berhubung dakwaan salah laku Subramaniam yang dikaitkan dengan cuti tanpa kebenaran.
Amrik bagaimanapun menegaskan isu kedutaan AS menikmati imuniti mutlak tidak terpakai kerana kontrak pekerjaan Subramaniam dari 20 Sept 1998 sehingga pemberhentiannya yang menyalahi undang-undang pada 4 April 2008, tidak melibatkan pengendalian maklumat sulit yang mempunyai kesan ke atas kedaulatan AS.
"Ini salah satu contoh bagaimana kedutaan dan konsulat asing mempergunakan undang-undang imuniti untuk mencabuli hak seorang rakyat Malaysia.
"Kes ini berpanjangan lebih 15 tahun. Sudah sampai ke Mahkamah Persekutuan. Sudah ada keputusan. Tapi, kedutaan masih ingkar keputusan mahkamah atas nama imuniti.
"Kini mereka membuat permohonan semakan kehakiman di mahkamah tinggi. Hujahan utama mereka adalah mereka dilindungi undang-undang imuniti, dan kerajaan atau mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap sebarang tindakan terhadap pekerja Malaysia yang bekerja di kedutaan.
"Ini hanya satu kedutaan. Kami ada kes-kes yang hampir serupa daripada beberapa kedutaan dan konsulat yang lain.
"Kami menyeru Kerajaan Malaysia mencontohi United Kingdom yang tahun lepas mencadangkan pindaan kepada Akta Kekebalan Negara 1978 (United Kingdom) yang akan membolehkan pekerja di kedutaan dan konsulat membawa kes pekerjaan mereka ke mahkamah," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/79906b789fb65c3484a436a65c8a4612.jpg)
