Bekas Timbalan Ketua Dewan Muslimah PAS Pusat, Dr Lo' Lo' Ghazali berharap kepimpinan baru dewan itu akan melakukan perubahan untuk memperkukuhkan lagi parti.

"Kita tidak suka benda yang statik, jadi kita menunggu perubahan yang akan dilakukan oleh pimpinan baru" katanya ketika dihubungi bagi mengulas pemilihan kepimpinan baru menerajui Dewan Muslimah PAS.

Dalam muktamar parti itu Jumaat lalu, Dr Lo' Lo' gagal mempertahankan jawatan timbalan ketua Dewan Muslimah apabila tewas kalah kepada Wan Hasrina Wan Hassan.

Bagaimanapun, katanya, beliau menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka.

Ketika ditanya sebab kekalahannya, Dr Lo' Lo' berkata, ia perlu ditanya kepada perwakilan sambil menambah, jika beliau tahu, sudah tentu beliau akan menang.

Katanya, beliau telah menjalankan tugas dengan sebaik mungkin, termasuk membantu bekas Ketua Muslimah, Azizah Khatib Mat.

Blog dan lamanweb

Azizah juga gagal mempertahankan jawatan Ketua Dewan Muslimah apabila tewaskan kepada Nuridah Salleh dalam pemilihan yang diadakan di Kota Baru, Jumaat lalu.

Dr Lo' Lo berkata, antaranya tugas yang dilakukannya semasa menjadi timbalan ketua muslimah ialah menyediakan ucapan ketua muslimah, menghadiri mesyuarat dan menjayakan pelbagai program seperti bengkel-bengkel serta memberi kursus kepada wanita.

"Selain itu, kami juga mempunyai blog dan lamanweb sendiri," katanya.

Apabila ditanya apakah perwakilan lebih suka kepada golongan ulama, Dr Lo' Lo' menjawab mungkin, tetapi menegaskan perwakilan bukan semuanya ulama tetapi ada juga golongan profesional.

Dalam muktamar kali ini, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan tanpa bertanding.

Timbalannya Nasharuddin Mat Isa juga mengekalkan jawatannya selepas menewaskan pencabarnya, bekas Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib.

Ketua Pemuda, Salahuddin Ayub juga tidak dicabar dalam muktamar kali ini.