DAP yakin Chow telus, akan jelaskan isu jual tanah
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yakin Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow seorang pemimpin yang telus dan akan menjelaskan penjualan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kepada sebuah syarikat pembinaan.
“Beliau akan menjawab semua persoalan, bukan hanya kepada media tetapi di DUN,” kata Loke selepas persidangan kesatuan pekerja KTMB.
“Beliau ketua menteri, sudah tentu dia ada kemampuan untuk menjawab semua persoalan itu.
“Saya yakin bahawa Chow adalah seorang pemimpin yang sangat telus. Dia akan menjawab segala persoalan itu, bukan saja kepada media, (tetapi juga) kepada Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri majlis perasmian mesyuarat khas Kesatuan Keretapi Tanah Melayu (RUM) ke-15 di Kuala Lumpur hari ini.

Chow juga adalah naib pengerusi DAP kebangsaan dan pengerusi DAP Pulau Pinang.
Kontroversi timbul susulan laporan bahawa tanah seluas 226ha milik agensi kerajaan negeri dijual kepada syarikat pembinaan UMECH Construction Sdn Bhd secara rundingan terus pada April lalu.
Chow kemudian tampil mempertahankan penjualan tanah itu untuk membangunkan sebuah taman perindustrian. Alasanya kekurangan minat ke atas tanah itu, dengan jawatankuasa kecil PDC membenarkan penjualannya.
Mengulas lanjut, Loke juga yakin Chow akan memberikan kerjasama penuh sekiranya Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Pulau Pinang menjalankan siasatan.
“DUN ada mekanismenya ada PAC dan sebagainya, jadi PAC Pulau Pinang boleh menjalankan siasatan dan saya yakin Chow akan memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Mengenai penjelasan Chow sebelum ini yang berkata penilaian wajar telah dijalankan dengan teliti, Loke berkata ketua menteri itu perlu menjelaskan isu tersebut kepada rakyat.
"Seperti yang saya katakan, dia (perlu) menjelaskannya kepada rakyat. Ini bukan sama ada saya bersetuju atau tidak," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/c481a7a7ca67b6199c340c5f15fb4001.jpg)
