Seorang pemilik pusat kecantikan didenda berjumlah RM62,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi kerana menyediakan klinik pergigian swasta yang tidak didaftarkan serta menjalankan perkhidmatan pergigian secara tidak sah, Julai tahun lepas.
Hakim Effandi Nazila Abdullah menjatuhkan hukuman denda RM31,000 atau dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda selepas Nur Aqila Ahmad Sabri, 29, selaku Orang Kena Saman (OKS) menukar pengakuan bersalah pada sebutan kes itu semalam.
Wanita itu membayar denda berkenaan.
Nur Aqila didakwa menjalankan amalan pergigian tanpa berdaftar di bawah Akta Pergigian 2018 di sebuah premis di Jalan Medan Pusat Bandar 8A, Seksyen 9 Bandar Baru Bangi pada 2.01 petang, 26 Julai 2022, mengikut Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018.
Dia turut berdepan pertuduhan menyediakan klinik pergigian swasta yang tidak didaftarkan pada lokasi, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.
Kedua-dua kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara hingga enam tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, Unit Penguatkuasaan di Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melakukan serbuan di sebuah klinik pergigian swasta selepas menerima maklumat klinik itu tidak didaftarkan.
Ketika serbuan dilakukan, OKS sedang memberikan rawatan veneer ke atas pelanggan wanitanya dan siasatan mendapati OKS gagal menunjukkan premis itu adalah klinik pergigian swasta berdaftar.
Semakan daripada Majlis Pergigian Malaysia (MPM) juga mendapati OKS bukan pengamal pergigian berdaftar dengan badan itu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Dr Izwan Abd Hamid manakala Nur Aqila diwakili peguam Naim Mahmud.
- Bernama
