Ahli Parlimen Batu P Prabakaran menawarkan tajaan kepada bekas-bekas atlet gimnastik wanita Terengganu sekiranya mereka berminat menyertai sendiri mana-mana kejohanan. 

Tawaran itu dibuat susulan dasar Terengganu yang tetap mengharamkan wanita Islam mewakilinya atas alasan pakaian tidak mesra syariah.

“Sekiranya mereka masih meneruskan sukan tersebut dan perlukan bantuan sokongan untuk penyertaan ke sebarang kejohanan, saya sedia membantu.

“Saya akan cuba untuk menaja keperluan mereka sekiranya diperlukan,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu Hishamuddin Abdul Karim membangkitkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri yang dilancarkan pada Mac 2020.

Susulan itu terdapat dalam kalangan mereka yang memilih haluan ke sukan lain iaitu wushu.

Malah wakil tunggal atlet gimnastik wanita bukan muslim juga menarik diri daripada mewakili Terengganu selepas ketiadaan rakan-rakan sepasukan dan faktor-faktor tertentu. 

Berbahas dalam sidang DUN baru-baru ini, Hishamuddin berkata antara garis panduan yang ditetapkan ialah atlet beragama Islam perlu berpakaian yang ditetapkan syarak seperti menutup aurat, sopan dan bersesuaian dengan sukan yang diceburi.

Ketika ditemui selepas sidang, dia berkata kerajaan negeri kekal dengan keputusan melarang atlet wanita menyertai gimnastik kerana pakaian yang ketat dan mempamerkan bentuk badan.

Sementara itu Prabakaran turut mengkritik tindakan kerajaan negeri Terengganu yang dilihat menutup peluang bagi penyelesaian lebih adil dalam isu melibatkan pemakaian atlet gimnastik muslim wanita di negeri itu.

Hishamuddin Abdul Karim

Menurutnya kerajaan negeri sepatutnya mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) berhubung bentuk pemakaian patuh syariah melibatkan atlet-atlet wanita.

“Saya fikir kerajaan Terengganu sepatutnya sediakan SOP pemakaian yang patuh syariah melibatkan atlet berkenaan, sebaliknya bukan larangan langsung menguburkan bakat dan masa depan atlet.

“Dalam bidang sukan mereka ini mempunyai masa depan yang cerah dan wajar diberi peluang sebaik mungkin untuk mengembangkan bakat dan potensi yang ada,” katanya.