Seorang nelayan yang hilang dalam insiden bot karam di Kampung Pasang Api, Hutan Melintang, Bagan Datuk awal pagi ditemukan lemas pada kira-kira 5.20 petang semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mayat Amir Hamzah Shaari, 55, dijumpai kira-kira 400 meter dari lokasi bot yang dinaiki mangsa serta dua lagi nelayan karam.

"Pencarian mangsa dilakukan menggunakan bot bersama Unit Anjing Pengesan (K9) di kawasan Pasang Api menghala ke Beting Beras Basah pada 9.20 pagi dan pencarian sebelah petang terus dilakukan tiga kilometer ke arah muara laut serta lima kilometer ke arah Teluk Intan.

"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 6.15 petang," menurutnya dalam kenyataan semalam.

Amir Hamzah hilang selepas bot dinaiki karam ketika keluar menangkap ikan manakala dua lagi berjaya diselamatkan oleh orang awam dalam kejadian itu.

- Bernama