Kurang peruntukan jadi penghalang M'sia capai negara berteknologi tinggi
Kekurangan peruntukan dan pelabur dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (RnD) dilihat terus menjadi penghalang kepada Malaysia mencapai negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata ini kerana dana RnD di negara ini masih kekal satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding negara luar seperti Korea Selatan iaitu empat peratus.
Justeru katanya beliau berharap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mendapat peruntukan lebih besar atau sekurang-kurangnya tambahan 10 peratus menerusi belanjawan yang akan dibentangkan esok oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ini kerana RnD ambil masa yang panjang untuk kita buat dan lihat hasil pencapaiannya. Jika dana pelaburan kita dalam RnD ini tidak cukup besar seperti negera luar yang mencapai tiga hingga empat peratus daripada KDNK, kita akan ketinggalan.
"Jadi kita berharap pada belanjawan kali ini MOSTI mendapat sekurang-kurangnya 10 peratus peningkatan berbanding tahun lepas kerana sebelum ini kita mendapat RM1.1 bilion," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 Peringkat Negeri Melaka 2023 dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang turut dihadiri Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan.
Katanya penambahan bajet itu juga akan membuka lebih banyak ruang RnD dalam pembangunan vaksin dan penerokaan angkasa lepas memandangkan peratusan peruntukan dalam bidang itu masih belum memuaskan.
Malahan katanya dana itu juga membolehkan penganjuran dan pelaksanaan pelbagai program terutama dalam menarik minat anak-anak dalam bidang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Sementara itu beliau berkata penganjuran Karnival MSN yang diadakan di Melaka serta negeri lain adalah sangat bertepatan dan pembelajaran berteraskan STI dapat disampaikan secara interaktif khususnya pengaplikasian teknologi dalam kehidupan.
"Justeru kita menyasarkan 1.7 juta pengunjung pada keseluruhan penganjurannya dan ia terus menarik minat anak-anak terhadap STEM," katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/ed4a4d6a933e1ce42bf0fef93a747a2c.jpg)
