MCA: Hak PM jemput PAS sertai kerajaan
Tidak ada sesiapa yang mempunyai hak untuk mempersoalkan keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjemput PAS menyertai kerajaan, kata Presiden MCA Wee Ka Siong.
Dalam satu kenyataan, pemimpin BN itu menegaskan adalah menjadi hak Anwar sebagai perdana menteri untuk membawa mana-mana parti politik menyertai kerajaan, dan melantik anggota jemaah menterinya.
“Sebagai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mempunyai hak untuk menjemput mana-mana parti politik untuk menyertai kerajaan, dan beliau mempunyai hak untuk membentuk kabinet serta menukar mana-mana menteri kabinet.
“Tidak ada sesiapa yang mempunyai hak untuk mempersoalkan keputusannya.
“Jemputan perdana menteri kepada PAS untuk menyertai kerajaan perpaduan hanya membuktikan satu perkara, iaitu ‘dalam politik, tidak ada musuh yang kekal’, dan politik adalah seni menjadikan perkara yang mustahil menjadi mungkin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.
Wee menyiarkan kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan media mengenai artikel berita oleh majalah The Time, yang memetik Anwar sebagai berkata dia ada menghantar jemputan kepada PAS untuk menyertai kerajaan.

Tambah Wee, dirinya tidak akan terkejut jika PAS akan bekerjasama dengan PKR dan DAP sekali lagi memandangkan mereka pernah bekerjasama sebelum ini.
“PKR dan DAP telah bekerjasama dengan PAS pada tahun 2008 dan 2013 dalam gabungan Pakatan Rakyat dan sebagai parti pembangkang menentang BN.
“Selain itu, PKR, DAP, dan PAS pernah bersama-sama menjadi kerajaan negeri Selangor. Saya tidak terkejut jika tiga parti ini akan membentuk pakatan lagi di masa depan.
“Cadangan saya adalah untuk media mengarahkan pertanyaan mereka kepada PM, PAS, dan DAP. Mereka akan memberikan jawapan yang lebih memuaskan sebagai pihak yang terlibat,” katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/08/7e4f5817fce5b9e19270322c1f24bbe6.jpg)

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/8207432f90fe317988988f8bfcdc1c4f.jpg)