Kerajaan komited memastikan tindakan diambil dalam tempoh 24 jam setelah menerima aduan jalan berlubang di Jalan Persekutuan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, setakat Ogos lalu, lebih 4,100 jalan berlubang di Jalan Persekutuan telah dikenal pasti dan dibaik pulih.

Katanya, kecelakaan di jalan raya terus menyumbang angka kematian yang tinggi.

“Sedasawarsa yang berlalu, kita mencatatkan purata lebih 6,000 kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Terbaharu, tentunya insiden tragis yang meragut nyawa enam sekeluarga di Jalan Kuantan-Segamat Bandar Muadzam amat-amat mengesankan dan seluruh watan turut berduka.

“Aspek keselamatan jalan raya akan terus diberi pertimbangan utama,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Sehubungan itu, Anwar berkata, tahun hadapan, RM2.8 bilion disediakan untuk menyelenggara jalan dan jambatan persekutuan dengan RM300 juta ringgit.

“RM100 juta disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus. RM50 juta turut disediakan untuk tujuan sama di kawasan PBT seluruh negara.

“Akhir sekali, RM50 juta juga disediakan untuk merawat kawasan berkemalangan tinggi antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan bagi membantu mengurai kesesakan laluan trafik,” katanya.