Syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline memohon maaf kepada penumpang susulan penggantungan operasi syarikat itu baru-baru ini.

Eksekutif Interim MYAirline, Azharuddin Abdul Rahman berkata syarikat itu kini sedang dalam proses mempercepatkan bayaran balik wang penumpang.

Dia juga meminta penumpang supaya bersabar memandangkan syarikat itu kini melayani lebih 12,000 emel daripada mereka yang terjejas.

“MYAirline juga dalam proses mewujudkan talian hotline, untuk membantu penumpang kami yang terjejas dengan lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bagi memudahkan proses bayaran balik, penumpang digalakkan memberikan nombor tempahan (PNR) dan menghantar e-mel kepada customercare@myairline.my.

Azaharudin berkata semua kakitangan MYArline masih dalam penggajian penuh dan tiada mana-mana pekerja diberikan cuti tanpa gaji.

Menyentuh mengenai perkongsian strategik, dia berkata beberapa pihak telah pun menunjukkan minat terhadap MyAirline dan syarikat itu kini sedang menilai cadangan tersebut.

Pada Khamis lalu, MYAirline mengumumkan telah menggantung operasinya berkuat kuasa serta merta berikutan tekanan kewangan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke kemudian menyifatkan syarikat penerbangan itu sebagai tidak bertanggungjawab berikutan keputusan mengejut itu.

Dia bagaimanapun mengatakan MyAirline telah memberi jaminan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk membuat bayaran balik kepada penumpang yang terjejas.

Loke berkata kira-kira 125,000 orang termasuk mereka yang telah membeli tiket penerbangan itu terjejas berikutan penggantungan operasi syarikat itu.

Menurutnya jualan tiket yang ditempah sehingga Mac 2024 adalah berjumlah kira-kira RM20 juta.

Beberapa syarikat penerbangan lain menawarkan tiket dengan harga diskaun kepada penumpang yang terjejas.