Peningkatan paras IPG motivasi buat pekebun kecil getah
Peningkatan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3 sekilogram memberi suntikan motivasi kepada golongan pekebun kecil negara untuk terus mengusahakan tanaman mereka.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata isu harga getah menjadi antara rungutan yang disuarakan pekebun kecil khususnya yang masih memiliki kebun getah tidak bertoreh.
“Cuma kita lihat kaedah pelaksanaan harga itu sebelum ini tidak begitu diketahui dan sampai kepada pekebun kecil kerana mekanisme (insentif) itu belum mesra kepada pekebun.
“Untuk itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sedang mengenal pasti kaedah yang bersesuaian kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas program Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) peringkat Sarawak di Betong, hari ini.

Beliau mengulas pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang memaklumkan pengaktifan IPG itu melibatkan peruntukan RM400 juta.
Dalam Belanjawan 2023, paras harga pengaktifan IPG telah dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM2.79 sekilogram.
Mengambil contoh di Sarawak, Rubiah berkata sebanyak 40 peratus atau 50,469 orang pekebun kecil berstatus kebun tidak bertoreh di Sarawak, merangkumi keluasan 103,805 hektar daripada 258,528 hektar kawasan.
Mengenai peruntukan RM90 juta kepada Risda dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (FELCRA), Rubiah berkata ia lebih kepada program tanaman semula bagi menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang melalui agromakanan.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/7cb68674d7a57045366fa694715270db.jpg)
