Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 195 pendatang asing termasuk lima wanita dalam serbuan di dua penempatan haram di kawasan bekas tapak pembinaan Gelang Patah di Johor Bahru, semalam.
Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir berkata kesemua mereka yang berumur lingkungan 19 hingga 69 tahun itu ditahan dalam Op Sapu yang dijalankan bermula 12 tengah malam, Jumaat.
Beliau berkata sebanyak 641 warga asing dan tempatan diperiksa termasuk pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke Atas Pelarian (UNHCR) dalam operasi berkenaan.
"Lokasi penempatan itu terletak jauh daripada laluan utama dan dikelilingi ladang kelapa sawit dengan terdapat 15 kontena bagi memudahkan mereka meloloskan diri daripada ditangkap, sejak April tahun lepas.
“Kita telah menahan 62 lelaki Myanmar, 55 lelaki Bangladesh, 28 lelaki India, 26 lelaki dan lima wanita Indonesia, 16 lelaki Pakistan, dua lelaki China serta seorang lelaki warga Timor Leste, kerana disyaki tidak mempunyai pas dan dokumen perjalanan sah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Baharuddin berkata kesemua mereka ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi siasatan dan tindakan lanjut.
- Bernama
