MCA: Kembalikan GST pada kadar lebih rendah, bukan naikkan SST
MCA menggesa kerajaan untuk menyusun semula sistem percukaian negara dengan memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST), bukannya meningkatkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Jurucakap parti itu, Saw Yee Fung berkata peningkatan daripada enam peratus kepada lapan peratus dalam SST akan memberi impak tinggi kepada kumpulan pendapatan M40.
Katanya, kerajaan sebaliknya perlu melaksanakan GST pada kadar yang lebih rendah iaitu tiga hingga empat peratus.
“Kerajaan wajar menyusun semula sistem percukaian negara, dan bukannya menaikan kadar cukai dalam usaha untuk menstabilkan ekonomi negara, apatah lagi apabila nilai ringgit kita semakin menurun dan kadar inflasi juga semakin meningkat.
"Keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar SST juga dilihat seakan 'menghukum' mereka yang kerap membayar cukai. Selain itu, SST juga tidak secekap GST dalam menangani masalah ketirisan dan pengelakkan bayaran cukai oleh golongan tidak bertangungjawab.
"Maka, keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar SST hanya menggalakkan rakyat untuk mencari jalan mengelak membayar cukai, dan akhirnya menjejaskan pendapatan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saw menambah rancangan kerajaan untuk menggunakan e-invois sebagai kaedah untuk menyelesaikan ketirisan dan pengecualian pembayaran cukai akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan sepenuhnya.
“Jikalau kerajaan benar-benar cakna dan prihatin terhadap kesusahan rakyat, dan ikhlas mahu membantu mengurangkan beban mereka, mengapa pula mereka enggan melaksanakan GST pada kadar yang lebih rendah, seperti 3 hingga 4 peratus, tetapi pula sanggup menaikkan kadar SST kepada 8 peratus?” soalnya.
Semasa pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berkata kenaikan SST kepada lapan peratus tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi. Industri yang terjejas termasuk logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke.
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman mempersoalkan jika cadangan kenaikan SST adalah "penyamaran" untuk GST.
Sebelum pembentangan bajet itu, ketua ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia Apruva Sanghi berkata bahawa Malaysia boleh memperoleh RM19 bilion lebih dalam hasil cukai tahun lepas jika ia telah melaksanakan GST dan bukannya SST.
Ini sekiranya perbandingan dibuat bukan mengikut terma nominal, tetapi mengikut peratusan hasil cukai kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), katanya.
Pada 2017, katanya, GST meraih kutipan RM44 bilion, membentuk kira-kira 2.8 peratus daripada KDNK tahun itu.
Pada 2022, jumlah bersamaan untuk 2.8 peratus daripada KDNK ialah RM50 bilion.
Bagaimanapun, pada 2022, SST hanya menyumbang RM31 bilion hasil cukai, iaitu kekurangan RM19 bilion.
Ini bertentangan dengan hujah bahawa hasil SST adalah setanding dengan GST, kerana RM31 bilion telah diperoleh melalui SST pada 2022 manakala GST menaikkan RM44 bilion pada 2017.
Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) Nor Mohamed Yakcop bagaimanapun berpendapat kenaikan SST akan mengukuhkan kedudukan fiskal negara di samping meminimumkan kesan terhadap isi rumah.
Pengkritik GST berpendapat ia adalah cukai regresif yang secara tidak adil menghukum golongan berpendapatan rendah, yang pada masa ini tidak membayar cukai pendapatan.
Walau bagaimanapun, penyokong GST percaya ini boleh dikurangkan dengan memperkenalkan GST pada kadar yang rendah dan memastikan barangan dan perkhidmatan penting berkadar sifar.
Mereka juga berhujah bahawa GST boleh meraih hasil cukai dengan cekap dan menghentikan ketirisan.
/file/1112/dc0a8d159c9d5f6b8a334233b1152ab4.jpeg)
