Tak perlu bawa PAS sertai kerajaan, kata menteri pelancongan
Presiden PDP Tiong King Sing berkata kerajaan perpaduan sedia ada tidak perlu penyertaan PAS.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu berkata ini kerana ramai pihak terutamanya bukan Islam tidak boleh menerima PAS.
“Kerajaan perpaduan tidak perlu penyertaan PAS, kerana ramai yang rasa tidak senang (dengan PAS), mereka tidak boleh terima PAS terutama bukan Islam,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook semalam.
Tambahnya, ini kerana PAS "terlalu ekstremis" dan seolah-olah tidak menghiraukan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.
Dia mengulas temu bual Time Magazine dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang berkata dia pernah mengundang PAS untuk menyertai kerajaan perpaduan.
Dalam temu bual itu Anwar juga berkata bahawa dia tidak akan menolak kemungkinan PAS menyertai kerajaan pada masa akan datang, tetapi ia bergantung jika parti itu menerima beberapa dasar utama dan menghormati bahawa Malaysia adalah parti berbilang kaum dan agama.
Tiong berkata dia telah bertanya kepada Anwar mengenai perkara ini semasa mesyuarat kabinet pada 13 Okt, di mana dia menjelaskan jemputan itu dipanjangkan semasa membentuk kerajaan perpaduan, sebagai mematuhi seruan Yang di-Pertuan Agong untuk perpaduan politik.
Sementara itu, Tiong dalam videonya semalam menyatakan sokongan kepada bukan Islam yang bimbang dengan PAS.
Bagaimanapun, dia juga berkata isu PAS kemungkinan menyertai kerajaan tidak perlu digembar-gemburkan lagi.
Mengenai kepelbagaian budaya, Tiong berkata hanya apabila semua orang menghormati antara satu sama lain barulah negara dapat bersatu dan maju.
Dia juga berikrar bahawa kerajaan perpaduan akan melakukan yang terbaik untuk menjaga hak semua kaum dan agama.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/96804a932f3e3b3c5d87a8518a0c2e49.jpg)
