Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng membidas Chow Kon Yeow selepas ketua menteri Pulau Pinang itu sekali lagi mendakwa terdapat komplot untuk menyingkirkannya daripada jawatan itu.

Lim menyifatkan dakwaan tidak berasas itu hanya menimbulkan kekeliruan dan mengalihkan fokus sebenar kerajaan perpaduan di negeri itu.

Malah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata sehingga kini Chow tidak dapat mengemukakan bukti mengenai dakwaannya.

"Sehingga kini, tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan mana-mana pemimpin ataupun ahli parti di Pulau Pinang yang terlibat di dalam usaha untuk menjatuhkan Chow sebagai Ketua Menteri.

"Dakwaan tidak berasas seperti ini hanya akan menimbulkan kekeliruan dan mengalihkan fokus sebenar daripada mentadbir kerajaan perpaduan di negeri ini secara cekap, amanah dan telus.

"Sekiranya Chow mempunyai bukti, seharusnya bukti tersebut diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook supaya parti dapat menangani isu ini secara dalaman dengan setegas mungkin,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya lagi, Loke semalam secara terbuka semalam telah menolak dakwaan Chow bahawa terdapat plot yang dicatur dari dalam dan luar parti itu untuk menjatuhkannya.

Semasa kempen pilihan raya negeri pada Julai lalu, timbul spekulasi terdapat usaha dari dalam DAP untuk menggantikan Chow sebagai calon bagi ketua menteri Pulau Pinang.

Bagaimanapun, kepimpinan parti itu akhirnya memberikan sokongan kepada Chow untuk kembali memegang jawatan tersebut.

Gerakan ‘dao cao’

Dalam satu majlis pada Sabtu lalu, Chow menggesa agar gerakan yang didakwa untuk menjatuhkannya dihentikan.

Chow memberitahu bahawa sebelum pilihan raya negeri, terdapat pelbagai spekulasi mengenai pergerakan "倒曹" (dao cao - jatuhkan Chow).

Menurutnya, hal itu menimbulkan kebimbangan dia akan disingkirkan, walaupun secara terbuka mengumumkan hasrat untuk berkhidmat bagi penggal kedua sebagai ketua menteri.

Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata dia berharap mereka di dalam dan di luar parti tidak lagi berusaha untuk "dao cao", sebaliknya "hui cao" (kembali menyokong Chow).

Mengulas mengenai isu itu semalam, Loke sekali lagi menggatakan tiada rancangan untuk menggantikan ketua menteri Pulau Pinang itu.

"Tiada isu ketua menteri (Pulau Pinang). Saya tidak tahu ada isu.

“Tiada keputusan untuk menggantikan ketua menteri,” katanya.