Menteri Sumber Manusia V Sivakumar hari ini berkata bahawa kementeriannya tidak mempertimbangkan sebarang cadangan untuk membenarkan majikan menukar negara sumber penggajian pekerja asing selepas mendapat kelulusan.

"Banyak permintaan oleh majikan untuk memberikan kelonggaran menukar negara sumber.

"Tetapi, buat masa ini kami tidak mempertimbangkan untuk membenarkan majikan tukar negara sumber penggajian pekerja asing," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas permohonan majikan menukar negara sumber mengambil pekerja asing.

Untuk rekod, di bawah dasar Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedia ada, majikan perlu memilih negara sumber untuk menggaji pekerja asing ketika membuat permohonan.

Setelah mendapat kelulusan, majikan tidak dibenarkan menukarkan negara sumber.

Terdahulu, Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan S Rajah meminta menteri mempertimbangkan semula dasar tersebut.

"Saya menerima banyak aduan daripada majikan berhubung dasar ini. Bagi saya dasar ini tidak masuk akal.

"Ketika ini, kita mohon pekerja asing kita perlu pilih negara sumber. Tapi, selepas mendapatkan kelulusan atas perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan kalau kita nak tukar negara sumber, tak boleh.

"Dasar ini tak masuk akal. Apa salah kalau kita tukarkan negara sumber sedangkan negara kita mempunyai 13 negara sumber untuk penggajian pekerja asing?

"Saya harap menteri mengambil maklum perkara ini," katanya.

Menurutnya, dasar ini antara punca utama masih banyak majikan tidak dapat membawa masuk pekerja asing ke negara ini.