Penyunting Kean Wong “telah dibebaskan” hari ini selepas tamat tempoh reman, maklum Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Ini selepas Wong yang juga suspek ditahan reman sehari di balai polis Dang Wangi berhubung kulit buku yang memaparkan jata negara yang telah diubah suai, yang diterbitkan tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata siasatan masih dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Wong yang berpangkalan di luar negara sedang disiasat berhubung kes hasutan tiga tahun lalu selepas dia menyunting buku kontroversi Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope in New Malaysia yang terbit pada 2020.

Dia ditahan di bangunan Jabatan Imigresen Kelana Jaya pagi semalam.

Difahamkan Wong mendarat di KLIA minggu lalu dan memasuki negara ini dan sumber memaklumkan bahawa percubaan Wong untuk memperbaharui pasport Malaysianya mencetuskan amaran dalam sistem imigresen berdasarkan "senarai suspek" polis.

Kumpulan hak asasi manusia menyifatkan penahanan Wong sebagai intimidasi.