Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AS sekat resolusi PBB salur bantuan kemanusiaan di Gaza
Diterbitkan:  Oct 19, 2023 2:56 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Amerika Syarikat telah memveto resolusi Majlis Keselamatan PBB menggesa "penangguhan kemanusiaan" untuk menyalurkan bantuan kepada berjuta-juta orang yang mengalami krisis di Gaza.

Ia satu-satunya negara yang mengundi menentang resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini manakala Rusia dan United Kingdom berkecuali.

Mereka yang mengundi menyokong resolusi itu ialah Albania, Brazil, China, Ecuador, Perancis, Gabon, Ghana, Jepun, Malta, Mozambique, Switzerland dan Emiriah Arab Bersatu.

Terdahulu, agensi hak asasi manusia dan pekerja PBB di lapangan melaporkan bahawa Gaza kehabisan air, makanan dan ubat-ubatan, untuk lebih sejuta orang awam.

Israel berkata ia telah menggugurkan lebih 6,000 bom di Gaza sejak perang meletus selepas serangan Hamas di Israel pada 7 Okt lalu yang membunuh 1,400 orang.

Pihak berkuasa Palestin menganggarkan jumlah kematian akibat serangan udara dan serbuan Israel di Gaza sejak 7 Okt berjumlah kira-kira 3,478 orang manakala lebih 12,000 cedera, lapor agensi berita Turki Andalou Agency.

Daripada jumlah ini, 70 peratus dipercayai kanak-kanak.

Biden kata Israel tak bom hospital

Ini termasuk letupan ke atas hospital kendalian Kristian di Gaza, Al Ahli, lewat Selasa, yang dianggarkan pihak berkuasa Gaza membunuh kira-kira 500 orang, termasuk keluarga pelarian yang berlindung di sana.

Israel menyalahkan letupan itu disebabkan roket yang gagal dilancarkan oleh kumpulan militan Jihad Islam Palestin manakala pihak berkuasa Palestin mengatakan ia serangan udara Israel.

Presiden AS Joe Biden ketika bertemu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Tel Aviv semalam nampaknya membela sekutunya itu.

“Berdasarkan apa yang saya lihat, nampaknya ia dilakukan oleh pasukan lain, bukan anda,” kata Biden kepada Netanyahu, lapor Associated Press.

Di Washington, Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih berkata penilaian AS adalah berdasarkan analisis imejan overhead, pintasan dan maklumat sumber terbuka, lapor Reuters.

Pemimpin Arab membatalkan rancangan untuk bertemu dengan Biden selepas serangan di hospital itu.

Walaupun menyekat resolusi PBB untuk "penangguhan kemanusiaan" bagi menyalurkan bantuan ke Gaza, Biden berkata AS akan menyediakan bantuan kemanusiaan AS$100 juta untuk rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki Israel.

Dia juga berkata AS akan melakukan segala yang boleh untuk melindungi Israel.

Sementara itu, Netanyahu berkata Israel tidak akan menghentikan bantuan memasuki Gaza dari Mesir tetapi bekalan tidak akan dibenarkan sampai kepada kumpulan Palestin Hamas, lapor Reuters.

Mesir, satu-satunya negara lain yang berkongsi sempadan dengan Gaza, telah bersiap dengan bantuan di sebelah sempadannya tetapi tidak dapat menyeberang kerana serangan udara Israel, lapor akhbar itu.

PBB telah memberi amaran tentang "bencana kemanusiaan", ketika Israel mengenakan sekatan total ke atas Gaza, memutuskan bekalan elektrik, makanan dan bahan api kepada 2.3 juta orang yang tinggal di jalur tanah yang sempit itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS