Karpal fail rayuan terhadap status Hazman
Peguam Karpal Singh hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak bantahannya supaya peguam Hazman Ahmad tidak dibenarkan mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri dalam perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantunya Shaariibuu.
Peguam Karpal Singh hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak bantahannya supaya peguam Hazman Ahmad tidak dibenarkan mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri dalam perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantunya Shaariibuu.
Karpal yang menjadi peguam pemerhati untuk keluarga Altantuya dan kerajaan Mongolia, mendakwa allahyarham isteri Hazman mempunyai pertalian dengan Hakim Mohd Zaki Md Yassin (bapa saudara allahyarham isteri Hazman) iaitu hakim yang mendengar perbicaraan kes itu.
Mohd Zaki menolak bantahan itu kerana tidak disokong alasan yang mencukupi.
Dalam satu kenyataan hari ini, Karpal berkata rayuan itu difailkan demi kepentingan awam, keluarga Altantuya, mangsa dan kerajaan Mongolia.
"Saya juga telah meminta hakim (yang mendengar kes Altantuya) supaya memberi penghakiman bertulis sebelum 18 Jun tarikh kes Altantuya didengar supaya Mahkamah Rayuan dapat membuat keputusan secepat mungkin," katanya.
Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas (UTK) dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja, dekat Shah Alam, antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, dituduh bersuhabat dengan kedua-dua mereka dan dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara jam 9.54 pagi dan jam 10.05 pagi pada 18 Oktober tahun lalu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.