Isu jualan tanah: Exco mahu KM saman presiden kehormat PCCC
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dijangka memulakan prosiding undang-undang terhadap presiden kehormat seumur hidup Dewan Perniagaan Tionghua Pulau Pinang (PCCC), Tan Kok Ping.
Kenyataan dari Pejabat Ketua Menteri menyatakan bahawa exco kerajaan negeri, yang bermesyuarat pagi ini, sebulat suara memutuskan bahawa Chow harus membawa taikun perniagaan itu ke mahkamah.
Ini kerana kenyataan Tan baru-baru ini mengaibkan dan menjatuhkan maruah Chow.
"Kenyataan tersebut dikeluarkan pada sidang media yang diadakan oleh pertubuhan berkaitan semalam bertarikh 18 Oktober 2023, dan telah disiarkan oleh media cetak dan atas talian secara meluas.
"Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan berkaitan dibuat berdasarkan liputan media yang memetik Tan yang menggunakan perkataan-perkataan mengaibkan dan menjatuhkan maruah ketua menteri (Chow).
"Tindakan undang-undang ini akan diuruskan oleh peguam bagi tindakan selanjutnya," kata kenyataan itu.
PCCC sebelum ini mempersoalkan perjanjian pembangunan bersama antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan sebuah syari swasta berhubung penjualan tanah di Batu Kawan.
PDC telah menamatkan perjanjian itu.
Ketika berbuat demikian, Tan berkata Chow "tidak cekap, jahil, dan tidak tahu malu" kerana mengelak soalan mengenai penjualan tanah tersebut, lapor FMT.
Awal bulan ini, PCCC membangkitkan kebimbangan mengenai tanah yang dijual oleh PDC kepada Umech Construction Sdn Bhd (Umech) pada harga di bawah harga pasaran.
Chow mempertahankan perjanjian rundingan langsung yang dicapai dengan Umech.
Terdahulu hari ini, Bernama memetik Chow berkata kerajaan negeri telah mengarahkan PDC mengkaji semula semua proses penjualan tanah bagi projek yang melibatkan tanahnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/41694c95c50c189247fb45308b5d7151.jpg)
