Bekas ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyatakan rasa terkilan kerana tidak dapat merealisasikan hasratnya untuk menjernihkan persepsi bukan Islam dan bukan Melayu kepada parti itu.
Dalam ucapan akhir sebagai ketua pemuda PAS, Ahmad Fadhli berkata itu antara perkara yang belum dicapai semasa menjawat ketua pemuda, sehingga melepaskan jawatan itu, semalam.
“Ini merupakan suatu tugasan paling besar yang saya tinggalkan kepada pasukan ini iaitu bagaimana PAS dapat dijernihkan persepsi dari pandangan bukan Islam.
“Ia supaya kita dapat menerobos masuk ke dalam pilihan raya dalam keadaan kita mendapat undi padu daripada pengundi Melayu, Islam dan pengundi bukan Melayu, ini sebagai satu cabaran,” kata Ahmad Fadhli dalam ucapan ketika Muktamar PAS di IDCC Shah Alam, Selangor malam tadi.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi, sokongan terhadap PAS ketika era Pakatan Rakyat (PR) disebabkan pujukan DAP yang menjernihkan persepsi mereka terhadap PAS.
“Masa kita berada dalam PR bukan Islam sangat jernih pemikiran terhadap kita tetapi rupa-rupanya penerimaan itu kerana mereka mencintai DAP kerana DAP membantu menjernihkan mereka.
“Kita tak boleh lagi bergantung kepada DAP untuk jernihkan fikiran (bukan Islam) kepada kita, tapi kita kena jernihkan mereka, persepsi mereka terhadap kita dengan penampilan kita sendiri,” katanya.
Jelas Ahmad Fadhli, jika usaha itu berjaya dilakukan, PAS akan menerajui pentadbiran di Putrajaya pada masa akan datang.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS yang baru dilantik, Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam sidang medianya berkata dia akan memikul tanggungjawab dan tugas yang diusahakan Ahmad Fadli dalam penggal pentadbirannya kali ini.
Afnan Hamimi berkata dia juga berikrar akan menarik bukan Islam untuk mendekati mereka dengan pendekatan yang boleh diterima golongan itu.
Katanya, sidang Muktamar PAS ke-69 kali ini juga turut dihadiri bukan Islam, selain itu pihaknya turut memberikan pengiktirafan kepada tokoh bukan Islam
“Kami akan pikul tugas itu, untuk terus mendekati bukan Islam. Mereka boleh menerima pendekatan yang kita buat dan kita akan terus mendekati mereka dengan pendekatan-pendekatan yang mereka akan terima, dialog kita akan terus buat dan nampaknya semakin positif perkara tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Afnan berkata Pemuda PAS akan mengadakan himpunan besar-besaran di hadapan kedutaaan Amerika Syarikat (AS) Jumaat depan bagi membantah serangan Israel terhadap Palestin.
