Zahid: Tiada perbincangan dengan PM isu tukar portfolio
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberikan bayangan bahawa dia dijangka kekal di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajuinya kini.
Ketika berucap pada Majlis Penutup Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan KKDW (Makspen) XIV di Putrajaya semalam, Ahmad Zahid berkata ini kerana tidak ada perbincangan diadakan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai pertukaran portfolio.
"....Tapi saya rasa tidak ada pertukaran kementerian kerana PM (Anwar) tidak pernah bincang pun dengan saya," katanya.
Desas-desus mengenai rombakan Kabinet antaranya melibatkan Ahmad Zahid yang kini memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang dikatakan akan bertukar ke Kementerian Dalam Negeri.
Ahmad Zahid pada 3 Okt lepas dilaporkan meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung rombakan Kabinet kerana ia hak prerogatif Anwar.
Sementara itu, Ahmad Zahid mahu kejohanan Makspen yang berlangsung setiap dua tahun ketika ini diadakan lagi pada tahun hadapan.
"Kali terakhir kita adakan sukan ini ialah pada 2015 dan selepas itu tiada lagi. Dengan ini saya arahkan tahun depan wajib diadakan semula," katanya disambut sorakan dan tepukan gemuruh peserta kejohanan.
Zahid turut mencadangkan Hari Keluarga KKDW diadakan sempena Makspen 2024.
-Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/577aa2c418826547de850ddb300f250a.jpg)
