Himpunan Freedom For Palestine: Penganjur mohon maaf
Viva Palestina Malaysia (VPM) hari ini mengemukakan permohonan maaf secara terbuka ekoran insiden semasa himpunan aman di Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
Pengerusinya Dr Musa Mohd Nordin berkata VPM sedar ada sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan cara himpunan berkenaan dikendalikan.
"Oleh yang demikian, bagi pihak seluruh pihak VPM, kami memohon maaf terhadap segala kekurangan," katanya melalui hantaran di media sosial X.
Semasa himpunan aman Freedom For Palestine anjuran VPM dan Humanitarian Care Malaysia (MyCare) pada Ahad lalu, ada peserta mendakwa mereka tidak dibenarkan bertakbir.
Penganjur turut didakwa meminta mereka menurunkan plakad yang memaparkan wajah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang digambarkan sebagai syaitan.
Menjelaskan apa yang berlaku Musa berkata penganjur mahu laungan peserta himpunan boleh disertai semua orang termasuk yang bukan beragama Islam.
"Isu takbir is a non issue (tiada isu).
"Kami cuma mengingatkan himpunan ini melibatkan (peserta) pelbagai agama dan kita sepatutnya membuat laungan yang boleh disertai semua orang," katanya.
Musa juga berkata penganjur berharap himpunan kemanusiaan tersebut bersifat inklusif.
"Semua orang menyertainya dengan penuh semangat tanpa mengira bangsa dan agama," katanya lagi.
Menurut Musa, ketika anak Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar; dan Pengerusi Ikram, Badlishah Sham Baharin, berucap mereka turut melaungkan takbir dan tidak dihalang oleh pihak penganjur.
Selain itu, Musa turut menafikan penganjur melabel peserta perhimpunan yang membawa plakad dengan wajah Netanyahu sebagai syaitan atau Zionis.
"Saya sebenarnya menjelaskan bahawa kita harus menghormati adab berhimpun serta tidak turun ke tahap yang rendah dalam menyatakan kebencian terhadap Zionis," katanya.
Pada masa sama Musa menjelaskan pasukan petugas VPM memang diarahkan untuk bertindak terhadap sebarang ucapan kebencian atau mana-mana pihak yang sengaja membuat provokasi.
"Ini adalah selaras dengan arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada kami untuk kekal dalam batasan atau sempadan perhimpunan kemanusiaan.
"PDRM memberi arahan yang jelas kepada pasukan keselamatan kami untuk bertindak dengan cepat menghentikan ucapan kebencian/poster dan ejen provokator yang berniat untuk menghalang perhimpunan kemanusiaan dan aman kami," katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/06/1d5e428595b0694466cd7ebfb52d4265.jpg)
