Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Biden desak Hamas bebaskan semua tebusan sebelum gencatan senjata
Diterbitkan:  Oct 24, 2023 9:16 AM
Dikemaskini: 1:16 AM

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden  menegaskan sebarang perbincangan mengenai gencatan senjata Gaza hanya boleh berlaku jika Hamas membebaskan semua tebusan.

"Tebusan sepatutnya dibebaskan dulu, baru kita boleh bercakap mengenai gencatan senjata," katanya kepada wartawan.

Pandangan Biden itu disifatkan sangat berhati-hati serta keputusan yang sememangnya terlintas oleh pentadbirannya sebagai merujuk kepada serangan mengejutkan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.

Komen itu dibuat sejurus selepas Hamas memaklumkan mereka telah membebaskan dua lagi tawanan wanita yang diculik dari Israel.

Menurut sayap tentera Hamas, Briged Qassam, pembebasan kedua-dua tawanan itu, Nurit Cooper, 80, dan Yocheved Lifshitz, 85, hasil daripada rundingan bersama wakil dari kerajaan Mesir-Qatar.

“Kami memutuskan untuk membebaskan mereka atas sebab-sebab kemanusiaan dan kesihatan,” kata jurucakap Briged Qassam yang dipetik oleh media tempatan.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkan tawaran pembebasan itu sebagai propaganda pembohongan Hamas.

Setakat ini hanya empat orang yang telah dibebaskan daripada jumlah keseluruhan tebusan yang dianggarkan seramai 222 orang.

Sementara itu, serangan udara terbaru tentera Israel menyaksikan sekurang-kurangnya 400 lagi rakyat Palestin di Gaza terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu.

Antara yang dibedil oleh tentera Zionis itu adalah pelarian Shati dan bandar Khan Younis.

Ini menjadikan jumlah korban di Gaza mencecah lebih 5,000 orang.

Lihat Komen
ADS