Politik baru terbantut, demokrat kecewa
Berikut teks penuh rencana yang diterbitkan Jumaat lepas dalam Berita Keadilan (edisi 20 Januari, 2001) yang menimbulkan "kontroversi" tentang " offensive remarks " terhadap pengundi Cina antara penulis dengan Pemuda MCA dan beberapa ahli politik pembangkang.
"Persetujuan" yang tercapai antara Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu) dan Pergerakan Pemuda Umno pada 6 Januari 2001 lalu khususnya langkah mengenepikan 7 rayuannya telah mengecewakan banyak pihak yang sejak beberapa bulan lalu telah menyatakan pandangan mereka mempertahankan hak Suqiu mengemukakan rayuan tersebut.
Turut berasa kecewa ialah sebahagian besar orang Melayu. Kebanyakan mereka yang secara aktif terlibat dalam politik (khususnya politik pembangkang) telah secara terang-terangan menyatakan sokongan mereka terhadap hak Suqiu mengemukakan rayuan tersebut atas prinsip bahawa hak yang demikian terjamin di bawah sistem demokrasi.
Sewaktu rayuan tersebut dikemukakan pada waktu pilihanraya yang lalu, parti-parti politik yang "dominan" Melayu dalam barisan pembangkang telah menerima rayuan Suqiu itu pada prinsipnya tetapi secara tulus menyatakan bahawa beberapa aspeknya yang terperinci masih perlu dibincangkan dengan mendalam.
Umno, melalui penguasaannya terhadap kabinet dan kerajaan, telah menerima rayuan itu dengan sepenuhnya. Namun penerimaan itu, seperti yang diakui sendiri oleh Mahathir kemudian, hanyalah taktik untuk menawan undi orang Cina sewaktu pilihanraya itu. Setelah pilihanraya itu dimenangi dengan sokongan kuat para pengundi Cina, momok Suqiu dipergunakan kembali dari sudut yang berlainan pula.
Dalam kekalutan fikiran yang ditimbulkan oleh "tuntutan" David Chua tentang hak para peniaga Cina, Utusan Malaysia menimbulkan kembali isu tuntutan Suqiu itu seolah-olah tuntutan itu merupakan tuntutan baru.
Maka Pemuda Umno yang sedang mencari asas kewibawaan baru di kalangan orang Melayu segera membuka langkah untuk bertindak mempertahankan suatu impian lama tidak bermakna yang dinamakannya "ketuanan Melayu".
Maka di bawah pimpinan Timbalan Ketuanya, Aziz Sheikh Fadzir, suatu "perhimpunan haram" di depan Dewan Perhimpunan Cina Selangor dilaksanakan, dan amaran telah dikeluarkan bahawa jika Suqiu tidak menarik kembali rayuannya dalam masa seminggu Dewan Perhimpunan Cina Selangor itu akan dibakar oleh suatu lagi perhimpunan yang lebih besar.
Gertakan dan ancaman ini kemudiannya diikuti pula oleh suatu urutan beberapa tindakan lain antaranya tuduhan Mahathir bahawa Suqiu tidak ada bezanya daripada gerakan Komunis dan Al-Maunah; usaha Ibrahim Ali dan rakan-rakannya untuk mengadakan tunjuk perasaan; dan gertakan GPMS untuk mengadakan tunjuk perasaan di merata tempat di negara ini, dan mengemukakan tuntutan balas yang mengandung 100 perkara.
Suqiu terpedaya
Dengan sokongan media arus utama yang mudah diperkuda kerajaan dan BN, maka pihak Umno tampaknya telah berjaya menimbulkan semacam ilusi tentang suasana tegang melalui pelbagai gertakan dan ancaman rusuhan yang diadakan oleh dirinya sendiri maupun oleh pelbagai pihak yang dapat diperalatkannya. Sedangkan, pada hakikatnya, kemampuan mana-mana badan dan individu tersebut untuk melaksanakan gertakan mereka itu amat diragukan jumlah rakyat yang masih menganggap mereka berwibawa sudah begitu merosot kini.
Apa yang mengecewakan kebanyakan pihak yang telah mengambil risiko politik menyokong hak Suqiu mengemukakan rayuannya selama beberapa bulan yang lalu itu ialah alasan yang telah mendorongkannya mencapai persetujuan dengan Pemuda Umno. Menurut Suqiu dalam kenyataan bersama yang dikeluarkannya bersama Pemuda Umno itu langkah mencapai persetujuan, dan "mengenepikan tujuh rayuan" itu, telah diambil demi "mengendurkan ketegangan kaum yang timbul".
Nyatalah bahawa Suqiu dalam melaksanakan langkah tersebut telah terpedaya oleh gertakan dan bantahan Pemuda Umno yang secara tidak sah mendakwa sebagai mewakili sentimen orang Melayu hari ini. Ilusi tentang "ketegangan kaum", "kemarahan orang Melayu", "rasa terancam orang Melayu" itu sebenarnya tidak lebih daripada hanya igauan siang Pemuda Umno sendiri yang ada hubungannya dengan mimpi siangnya yang lebih besar sebagai pelindung "ketuanan Melayu".
Namun Suqiu tampaknya telah terpedaya untuk membeli tunai tanpa tawar menawar lagi igauan siang Pemuda Umno ini dan secara tidak disedarinya telah mengecewakan sejumlah yang lebih besar para kompatriot Melayunya yang telah mempertahankan haknya untuk bersuara di tengah-tengah tuduhan komunis dan ancaman membakar bangunan itu.
Penarikan 7 perkara rayuan itu tampaknya telah dilakukan untuk mengendurkan ketegangan kaum yang sebenarnya tidak wujud dan menyelamatkan Pemuda Umno daripada perlu mengotakan gertakannya yang belum pasti dapat dilaksanakannya.
Namun ada suatu implikasi politik tersirat yang tampaknya perlu ditanggung oleh Suqiu dalam hubungannya dengan persepsi dan prasangka kaum-kaum lain terhadap peranan politik orang Cina dalam kerangka "politik baru Malaysia". Persepsi itu ialah bahawa para pengundi Cina di negara ini tidak merupakan para penyokong politik yang berasaskan prinsip politik jangka panjang dan bertaraf tinggi. Sokongan mereka mudah dimanipulasi oleh sesiapa yang mempunyai kuasa, berasaskan kepentingan-kepentingan sempit semasa.
Ada tanda-tanda bahawa prasangka inilah juga yang dipegang oleh Mahathir.
Mengapakah dalam keadaan Umno tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu dan survival politiknya sendiri bergantung sepenuhnya pada sokongan bukan Melayu, Mahathir memilih untuk menampilkan dirinya sebagai "wira" ketuanan Melayu dan terus membuat kecaman yang berlebihan terhadap Suqiu dan para pemimpin komuniti dan pendidikan Cina?
Tidak 'berprinsip'
Langkah demikian diambil tidak lain dan tidak bukan kerana dalam persepsi politik perkauman BN dan Mahathir prioriti utamanya ialah memenangi kembali sokongan politik orang Melayu. Dan menurut persepsi politik perkauman itu juga satu-satunya cara yang berkesan untuk memenangi sokongan politik orang Melayu itu ialah dengan cara yang kelihatannya seperti menyerang orang Cina dan menolak sebarang tuntutan politik mereka.
Namun tidakkah langkah yang demikian itu hanya akan menjauhkan sokongan orang Cina terhadap BN dan Mahathir? Hal ini memang disedari Mahathir, malah telah terbukti kebenarannya oleh pilihanraya kecil Lunas baru-baru ini. Tetapi menurut prasangka politik perkauman Mahathir juga, pengundi Cina bukanlah pengundi berprinsip. Sedangkan tahun 2004 masih jauh dan sokongan penngundi Cina pada waktu itu nanti boleh dimanipulasi pada waktu itu dengan isu-isu semasa.
Oleh yang demikian, untuk waktu ini lebih baik ditumpukan segala perhatian Mahathir dan Umno terhadap memenangi kembali sokongan Melayu. Isu tuntutan Cina yang berlebihan, isu pendidikan Cina dan ketuanan Melayu telah diperbesar-besarkan dalam kerangka itu.
Oleh kerana itu, para pemimpin parti-parti politik negara ini yang telah dikenalpasti oleh Umno dan Mahathir sebagai "parti Melayu" perlulah berhati-hati bahawa mereka secara tidak disedari sedang diheret oleh Umno dan Mahathir ke dalam kancah permainan politik perkauman licik yang sedang dilaksanakan oleh Umno dan Mahathir.
"Persetujuan" antara Suqiu-Pemuda Umno sedikit sebanyaknya telah membuktikan prasangka di kalangan sesetengah pihak bahawa para pengundi Cina di negara ini sesungguhnya tidak "berprinsip" dan "tidak boleh dijadikan rakan seperjuangan jangka panjang".
Jika para pemimpin parti-parti yang dikenal pasti oleh Mahathir sebagai "parti Melayu" itu pula turut terjebak dalam perangkap yang sama, maka parti-parti Melayu itu pula akan dicurigai oleh sejumlah besar orang bukan Melayu yang kini sudah mulai berjinak-jinak dengan gerakan reformasi dan politik pembangkang di negara ini.
Orang bukan Melayu ini pula akan menganggap parti-parti pembangkang tersebut yang sebenarnya bukanlah parti-parti "perkauman" dalam erti kata yang sama dengan Umno sebenarnya tidak ada bezanya daripada Umno dan tidak mungkin dapat diharapkan sebagai rakan seperjuangan jangka panjang dalam menegakkan masyarakat adil dan saksama di negara ini.
Jika persepsi politik yang demikian di kalangan pelbagai kaum di pihak pembangkang telah tertanam, maka upaya Mahathir dan Umno untuk memecahbelah pembangkang dan menghalang pertumbuhan politik baru Malaysia sebenarnya telah tercapai. Dengan tidak kita sedari kita secara berbondong-bondong sudah memasuki perangkap politik besar Umno dan Mahathir.
Dengan yang demikian, bukan sahaja usaha kita untuk menabur benih politik adil dan bukan perkauman yang baru di Malaysia gagal kita capai. Kita malah secara tidak sedar akur dengan pandangan bahawa satu-satu penyelesaian politik yang wajar bagi negara ini ialah cara politik perkauman yang telah menguntungkan pemerintahan korup dan kronistik BN yang telah berlangsung dan berkuasa selama ini.
RUSTAM A SANI merupakan Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia dan kolumnis


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.