Adun Chukai akan tolak jika dicalonkan untuk PRK Kemaman
Adun Chukai, Hanafiah Mat, berkata dia akan menolak menolak jika namanya dipilih sebagai calon untuk mewakili PN bagi pilihan raya kecil (PRK) Kemaman tidak lama lagi.
Katanya, pendirian itu dibuat kerana dia mahu memberi sepenuh tumpuan kepada tugasnya sebagai wakil rakyat untuk kawasan Chukai.
"Jika dipilih, saya akan menolak.. ambe (saya) tumpu negeri je," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.
Semalam portal Utusan Online melaporkan antara nama yang mungkin dicalonkan dalam PRK Kemaman ialah Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar.
Memetik sumber dalaman PAS, selain Ahmad Samsuri, turut dipertimbangkan ialah Hanafiah.
Untuk rekod selain menjadi Adun Hanafiah juga sedang berkhidmat sebagai salah seorang anggota exco Terengganu yang bertanggungjawab bagi portfolio infrastruktur, utiliti dan pembangunan luar bandar.
Sabtu lalu Malaysiakini melaporkan yang bekas ahli parlimen Kemaman, Che Alias Hamid mendakwa hanya namanya dihantar PAS kawasan berkenaan untuk dipertimbangkan sebagai calon.
Che Alias merupakan Yang Dipertua PAS Kemaman, manakala Hanafiah menjadi timbalannya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Kemanan diadakan pada 2 Dis manakala 18 Nov ditetapkan sebagai hari penamaan calon.

Dalam PRU ke-15 lalu Che Alias memenangi semula kerusi Kemaman dengan memperoleh 65,714 undi dengan meninggalkan pencabar terdekat sebanyak 27,179 undi.
Pada PRU ke-14 dia merampas kerusi tersebut daripada Ahmad Shabery Cheek (BN) dengan majoriti 2,163 undi dalam persaingan tiga penjuru.
Kata Hanafiah dia juga sekali lagi menegaskan Che Alias memang mendapat sokongan padu daripada ahli akar umbi PAS Kemaman dan mahu orang yang sama dicalonkan semula.
"Kami mahu mengekalkan ahli parlimen yang lama kerana selain sudah dikenali, dia diterima di peringkat akar umbi dan sokongan juga masih tidak berbelah bahagi.
"Bahkan, kami dah mula melaksanakan gerak kerja pilihan raya bagi memastikan kerusi itu kekal milik PAS," katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/809b55722676230ad88b6e44de0e3504.jpg)
