Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar antara yang akan dipanggil Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada prosiding pengurusan dana Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp).

Pengerusinya, Mas Ermieyati Samsudin berkata menteri itu akan dipanggil dalam dua lagi prosiding yang diadakan pada 1 dan 2 November 2023.

"Saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan dan penjelasan prosiding 1 November 2023, Rabu ialah wakil Kementerian Kewangan dalam HRD Corp yang telah dilantik oleh Kementerian Kewangan (MoF).

"Manakala keesokan hari pada 2 November 2023, Khamis PAC akan mendengar keterangan menteri sumber manusia," katanya dalam sidang media, di bangunan Parlimen, hari ini.

Katanya, keputusan memanggil kedua-dua saksi ini adalah disebabkan nama mereka disebut dalam prosiding pertama dan untuk berlaku adil kepada mereka.

Untuk rekod, PAC telah memulakan prosiding berhubung pengurusan dana latihan dan keberkesanan program latihan oleh HRD Corp setelah ia tidak dilaporkan dalam Laporan Audit Ketua Audit Negara (LKAN),

Walaupun isu berkenaan tidak dilaporkan oleh LKAN, PAC menggunakan punca kuasanya untuk memulakan prosidingnya.

Sebelum ini, jawatankuasa itu pada 23 Okt telah memanggil Timbalan Ketua Setiausaha (dasar dan antarabangsa) KSM, Amran Ahmad dan ketua eksekutif HRD Corp Shahul Dawood.

Dalam sidang media hari ini juga Mas yang juga ahli parlimen Tangga Batu mengecam dua portal berita mendakwa membawa laporan tidak sahih memetik sumber tanpa nama mengenai prosiding pengurusan dana HRD Corp.

"Hari ini saya membaca  laporan daripada portal
FMT, yang menyatakan 'Sivakumar akan hadir di hadapan PAC pada hari Isnin, kata sumber' tetapi laporan itu tidak betul kerana saya memaklumkan kepada media hari ini bahawa ia diadakan pada Khamis, 2 November.

"Saya (juga) kecewa dengan tindakan portal berita
Scoop pada 24 Oktober yang menerbitkan artikel bertajuk 'PAC bimbang kurang pemantauan dalam HRD Corp' menggunakan sumber yang tidak disahkan.


"Ini jelas melanggar Peraturan Mesyuarat dan maklumat yang diperoleh dalam prosiding adalah di bawah Akta Rahsia Rasmi (1972) (Akta 88). Sehubungan itu, saya berharap media perlu lebih bertanggungjawab dengan mendapatkan berita daripada sumber yang sahih." katanya.

Sementara dalam satu perkembangan lain, Mas berkata PAC kini dalam proses penyediaan laporan berhubung kemajuan projek pembangunan kapal peronda generasi kedua - Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di dawah Kementerian Pertahanan Malaysia.

Katanya, PAC sedang memuktamadkan laporan bagi tempoh Jun hingga September 2023.

"Kita jangkakan laporan ini akan dapat dibentangkan dalam mesyuarat kali ini," katanya.

Lihat Komen
ADS