Bekas ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib yang gagal dalam percubaannya merebut jawatan timbalan presiden PAS baru-baru ini, dilantik menganggotai jawatankuasa pusat parti itu manakala calon naib presiden yang tewas, Mahfuz Omar, dilantik sebagai ketua penerangan.

Datuk Dr Hassan Ali yang tidak bertanding mempertahankan jawatan naib presiden kali ini, dikekalkan sebagai pesuruhjaya PAS Selangor.

Perlantikan tersebut dibuat dalam mesyuarat pertama PAS pusat sesi 2007-2009 kelmarin. Harun adalah antara enam pemimpin yang dilantik sebagai anggota tambahan jawatankuasa pusat.

Lima orang lagi ialah Azizah Khatib Mat yang gagal mempertahankan jawatan ketua Dewan Muslimat, Wan Mutalib Embong, Asmuni Awi, Anuar Tahir dan Dr Mariah Mahmud.

Menurut Harakahdaily , Datuk Kamarudin Jaffar dan Dr Hatta Ramli masing kekal sebagai setiausaha agung dan bendahari agung PAS. Datuk Mustafa Ali pula kekal sebagai pengarah pilihanraya PAS pusat.

Mesyuarat itu turut melantik calon naib presiden, Mahfuz Ali sebagai ketua penerangan. Beliau merupakan bekas ketua Dewan Pemuda PAS pusat.

Muka baru

Pelantikan tersebut diumumkan oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. Hadir sama Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, sebahagian besar pesuruhjaya PAS negeri dikekalkan kecuali Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sarawak yang menampilkan muka baru.

Pesuruhjaya baru itu ialah Salleh Man (Pulau Pinang), Zulkifli Mohd Omar (Negeri Sembilan) dan Haji Osman (Sarawak).

Selain Dr Hassan, pesuruhjaya PAS yang dikekalkan ialah Hasim Jasin (Perlis). Azizan Abdul Razak (Kedah), Ahmad Awang (Perak), Mohamad Nor (Wilayah Persekutuan), Datuk Dr Hassan Ali (Selangor) dan Abdul Ghani Abdul Rahman (Melaka).

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kekal sebagai pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Mustafa Ali (Trengganu), Dr Mahfodz Muhd (Johor), Muhammad Abdullah (Sabah) dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (Kelantan).

Menurut Salahuddin, perlantikan bagi lajnah dan senarai ahli lembaga Pengarah Harakah pula akan diumumkan kemudian.