Sultan Johor dipilih sebagai Agong
Dikemas kini dengan berita penuh.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Jan 2024.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemilihan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, hari ini.
Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Jan tahun depan.
Mesyuarat itu turut memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.
Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja hari ini, yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis.
Kenyataan itu menyebut menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja itu telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“YAB Perdana Menteri juga telah dimaklumkan,” kata Syed Danial.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/1f78e34bb0aa1eef50cca1375e310ade.jpg)
