PAS lebih minat cari modal politik dari cakap isu Palestin - Syahredzan
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata PAS lebih berminat menjadikan isu ancaman diterima Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai modal politik berbanding isu sebenar berkaitan Palestin.
Ini susulan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang mengatakan kenyataan Anwar diancam negara barat kerana memperjuangkan isu Palestin sebagai ‘pelik dan lucu’.
Menurut Syahredzan, dia percaya ada sebab tertentu mengapa Menteri Luar, Zambry Abdul Kadir enggan mendedahkan negara yang didakwa memberi tekanan kepada Anwar meskipun didesak beberapa pemimpin Pas.
"Saya percaya ada sebab mengapa ia tidak didedahkan. Yang penting isu pokok- bahawa kita berdiri di belakang PM sebagai pemimpin untuk nyatakan pendirian dalam konflik ini.
"Malangnya, PAS lebih berminat untuk ‘score political points’ daripada mencari penyelesaian," kata Syahredzan ketika dihubungi Malaysiakini.
Anwar ketika berucap pada himpunan Malaysia Bersama Palestin baru-baru ini mendakwa mula menerima tekanan dari negara barat khususnya Amerika Syarikat dan Eropah kerana lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

“Saya mula diserang beberapa negara Eropah, Amerika Syarikat termasuklah Israel, saya tak terima ugutan itu.
"Saya tegaskan Malaysia negara bebas dan merdeka. Malaysia akan kekal negara berdaulat yang kekalkan kebebasan dan kebebasan rakyat Palestin," katanya ketika berucap di Stadium Axiata Bukit Jalil, pada 24 Oktober lalu.
Susulan itu Takiyuddin mengatakan kenyataan Anwar bahawa dia “diancam” sebagai pelik, malah melucukan.
Menurut pemimpin PAS itu Anwar menyatakan ancaman tersebut dalam bentuk “kenyataan-kenyataan” yang dibuat ahli parlimen negara-negara Eropah, tetapi enggan menjelaskan perkara itu apabila ditanya pihak media.
Katanya, PAS percaya kenyataan sebegitu hanya bertujuan menonjolkan “kehebatan” dan “kepentingan” Anwar sebagai perdana menteri.
Mengulas lanjut, Syahredzan menegaskan PAS sepatutnya tidak menjadikan kenyataan Anwar sebagai isu politik, sebaliknya menyokong usaha kerajaan dalam membela rakyat Palestin.
"Isu ini sebenarnya patut menyatukan kita, bukan menjadi modal politik.
"Pembangkang sepatutnya menyokong usaha perdana menteri yang berada di barisan hadapan untuk memastikan rakyat Palestin terbela. Ini melangkaui politik kepartian," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/ecd69ba46fc44ea225c8c850127f855c.jpg)
