Starlink beri manfaat kepada 500 penduduk Kg Langsat
Pemasangan peranti Starlink di Kampung Langsat, Ranau mampu memberi manfaat kepada 500 penduduk dengan memberikan akses internet berkelajuan tinggi lebih 200 Mbps, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Katanya pemasangan peranti menerusi projek Proof of Concept (PoC) itu adalah penyelesaian sementara bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan terbabit sementara menantikan pembinaan menara telekomunikasi menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) siap kelak.
Menurut Fahmi peranti Starlink di Kampung Langsat itu dipasang pada 7 Sept lepas dan merupakan yang kedua di Sabah selepas di Keningau pada 5 Sept.
"Pemasangan Starlink di kampung ini sedikit berbeza dengan pemasangan di tempat lain di atas bumbung… di sini ia dipasang di bahagian bangunan bagi memastikan pemasangan kukuh," katanya kepada pemberita selepas meninjau pemasangan itu hari ini.
Mengulas mengenai menara telekomunikasi Kampung Langsat, Fahmi berkata pembinaannya lewat daripada jadual asal dan pihaknya sedang berusaha memastikan menara itu siap dalam tempoh terdekat bagi memenuhi keperluan rakyat di kawasan itu.
"Esok saya ada pertemuan dengan Ketua Menteri (Hajiji Noor), kita bincangkan juga perkara ini dan usaha kita penuhi keperluan telekomunikasi di Sabah dengan kerajaan negeri," katanya.
Sementara itu Ketua Kampung Langsat Paimin Abdullah, 71, berkata kemudahan internet berkelajuan tinggi menerusi peranti Starlink itu memberikan banyak manfaat buat penduduk terutama generasi muda yang menggunakannya untuk menimba ilmu dan melakukan kerja-kerja sekolah.
"Sini paling susah dapat internet, sekarang ada internet sudah mudah untuk komunikasi terutama dengan keluarga duduk di luar kampung.
"Harapan saya supaya kawasan liputan internet Starlink ini juga diluaskan, bagus sekarang tetapi kawasan liputan wifi kita minta luaskan," katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/9a71a3e1439947dfa7851810d74ef3be.jpg)
