Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim lebih gemar membicarakan perkembangan individu berbanding prestasi parti apabila ditanya mengenai pandangannya terhadap DAP.

Baginda berkata demikian ketika ditanya mengenai "fobia Melayu" terhadap parti DAP semasa menjadi tetamu program podcast Keluar Sekejap malam tadi.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

" Sebagai contoh (Menteri Belia dan Sukan) Hannah Yeoh, saya fikir dia (superb) hebat pasal dia seseorang yang fokus pada kerjanya... sama juga dengan (Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew) Chin Tong.

"Tapi yang lain-lain saya tak kenal. Sebagai sebuah parti, saya tidak kata sama ada DAP adalah relevan atau bagus. 

“Ia bukan tempat saya kerana saya hanya mengenali beberapa individu sahaja daripada parti itu. Begitu juga dengan PKR dan Umno," katanya.

Hannah Yeoh

Menurut Tunku Ismail, dia tidak peduli dari parti mana pemimpin itu berasal, asalkan mereka mampu berkhidmat dengan baik untuk rakyat.

Ditanya mengenai masa depan Umno oleh hos rancangan itu, Khairy Jamaluddin yang juga adalah bekas ketua Pemuda Umno,  Tunku Ismail berkata parti itu masih memiliki asas sebagai sebuah parti Melayu yang kuat, tetapi ia memerlukan lebih ramai individu yang berkualiti untuk memimpinnya.

Perhimpunan Agung Umno 2023

"Ia (Umno) perlu ada seseorang yang mampu membawa dinamik berbeza, yang boleh dikaitkan dengan senario negara ketika ini mahupun masa depan.

“Masa depan ada tetapi ada sesetengah individu perlu pergi… mungkin, untuk ada masa depan.

“Kalau masih dengan sistem yang lama seperti sekarang, saya tak rasa Umno ada masa depan dalam negara, melainkan mereka berubah,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno 2023

Tunku Ismail berkata dia mahu melihat lebih ramai orang yang layak mentadbir negara dan mereka harus dipilih berdasarkan merit dan bukan berdasarkan senioriti.

Dia berkata, selain usia, kelayakan juga ukuran penting dalam menentukan kesesuaian seseorang menjadi ahli politik.

“Kalau anda muda, tetapi lebih kepada populis dengan hanya bercakap berdasarkan teori tanpa praktik, anda tak patut berada dalam bidang politik.

"Saya nak tengok orang-orang lebih layak berkhidmat dalam kerajaan, bukan berdasarkan senioriti, tetapi kelayakan.

“Itu sebab saya nak kamu berdua kembali ke Umno,” kata Tunku Ismail.

Khairy dan Shahril

Kenyataan itu menyaksikan kedua-dua Khairy dan hos bersamanya, Shahril Hamdan yang juga adalah bekas ketua penerangan Umno dalam keadaan tidak bersedia untuk menjawab sebelum mereka beralih kepada topik lain.

Khairy dipecat daripada Umno pada Januari lalu manakala keahlian Shahril pula digantung selama enam tahun. Kedua-dua mereka menyatakan bahawa mereka tidak bercadang untuk merayu.

Sejak episod sulung Keluar Sekejap, Khairy agak krtikal terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang menggantung atau memecat ahli parti yang dilihat tidak sealiran dengannya sebelum parti itu mengadakan pemilihan pucuk pimpinan pada Mac.