PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak mempolitikkan konflik Palestin-Israel dan mengizinkan isu itu dijadikan alat untuk memecahbelahkan keharmonian masyarakat di Malaysia.

Sebaliknya, Anwar berkata rakyat pelbagai kaum di negara ini sepatutnya melihat konflik itu dari sejarahnya dan isu kemanusiaan membabitkan penduduk Palestin yang inginkan kemerdekaan daripada penjajahan Israel.

Berucap di Dewan Rakyat, dia berkata perjuangan rakyat Palestin hari ini sama seperti ketika Tanah Melayu memperjuangkan kemerdekaannya.

“Janganlah jdkan isu ini sebagai isu yang membezakan sikap kita terhadap apa itu kemerdekaan. Malaysia merdeka menolak penjajahan Inggeris  dan kita bersama menentang penjajahan Inggeris

“Mengapa kita agak berlembut bila ada penjajahan Israel ke atas Palestin?” soal  perdana menteri.

Anwar (Pakatan Harapan-Tambun) berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Soalan Suhaizan berkisar tentang lawatan kerja perdana menteri ke Arab Saudi, Turkiye dan Mesir berhubung dengan serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Perdana menteri turut menyamakan perjuangan rakyat Palestin dan Hamas dengan Nelson Mandela yang mengetuai Kongres Nasional Afrika (ANC) dalam memerangi apartheid di Afrika Selatan.

Seperti Palestin hari ini, katanya, ramai yang meragui perjuangan Mandela dan ANC menentang penindasan kulit putih ke atas masyarakat kulit hitam pada era itu.

“Tetapi sekarang kita yakin tindakan mereka itu kerana keganasan dan penjajahn apartheid oanrg putih terhadap orang kulit hitam,” katanya.

Menurut Anwar, pihak tertentu di negara ini turut mengkritik pendirian kerajaan dalam isu Palestin sebagai bercanggah dengan prinsip berkecuali Malaysia.

“Saya gesa rakan-rakan kerana ada suara yang anggap kita keras dan bertentangan dengan sikap berkecuali tetapi ya Malaysia mendokong prinsip berkecuali tetapi tidak berkecuali dalam soal kezaliman, tidak berkecuali bila ribuan anak-anak dibunuh dan dibom, tidak berkecuali dalam soal keadilan dan kemanusiaan,” katanya.

Anwar turut menegaskan sokongannya terhadap program Minggu Solidariti Palestin Kementerian Pendidikan di sekolah-sekolah di seluruh negara.

“Sebab itu saya menyokong saranan Menteri Pendidikan supaya pelajar digalakkan mengikuti perkembangan isu semasa. Mereka harus digalakkan, bukan dipaksa.

"Sudah tentu kita mempunyai garis panduan supaya kita tidak mempromosikan keganasan atau menyemai kebencian sesama kita. Tetapi (program ini) berfungsi sebagai kesedaran tentang apa yang sedang berlaku, tentang erti penindasan, kekejaman dan perampasan," katanya.

Sementara itu, mengenai perkara berkaitan, Anwar berkata Malaysia belum memutuskan sama ada ia akan memboikot kehadiran pada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di San Francisco, California, Amerika Syarikat pada bulan depan.

Dia berkata demikian semasa menjawab pertanyaan dibangkitkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (PN-Machang) sama ada Malaysia bercadang untuk memboikot sidang APEC nanti sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.

"(Kehadiran Malaysia di) APEC kita sedang teliti. Ini badan ekonomi Asia Pasifik.

"Jadi kita hubungi dengan negara Asia, China (untuk tahu) tentang kedudukan mereka. Kita akan ambil keputusan selaras dengan pendirian rakan lain dan Asia," katanya.

[Baca berita penuh]