Berdepan pemilihan barisan kepimpinan tidak lama lagi yang dijangka panas, Pemuda Amanah diseru supaya lebih matang dalam meraikan demokrasi.
Ketua Pemuda Amanah Bachok, Abdullah Aqili Romeli, berkata sebarang kempen sama ada secara terbuka di media massa atau secara dalaman di peringkat akar umbi haruslah diraikan.
"Ia adalah sebahagian daripada pesta demokrasi yang dijamin oleh perlembagaan parti, apatah lagi Amanah merupakan parti yang berpegang pada nilai progresif.
"Sebab itu kita sepatutnya menjunjung tinggi nilai keterbukaan, ketelusan dan juga kebertanggungjawaban dalam berkempen untuk memilih pemimpin," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Nasional, Hazmi Hassan, sebelum ini yang menggesa ahli menolak kempen secara berlebihan.
Katanya, gesaan menjelang pemilihan sayap itu dibuat bagi mengelakkan perpecahan seperti yang berlaku sebelum ini.
"Kami menolak kempen yang berlebihan kerana pemilihan ini adalah dalam kalangan keluarga besar Amanah. Oleh itu, Pemuda Amanah harus mengambil pendekatan yang rahmah dalam berkempen.
"Kami berharap pemilihan kali ini tidak akan mengulangi isu perpecahan seperti sebelum ini," katanya.
Pemimpin harus berani
Abdullah Aqili menegaskan memang perpecahan akibat pertembungan dalam pemilihan harus diwaspadai tetapi ia bukanlah sehingga membuat ahli parti paranoid.
Keadaan itu, katanya, hanya akan membawa kesan buruk kepada Amanah kerana secara tidak langsung a membantutkan amalan demokrasi dalam parti.
"Kami Pemuda Amanah Bachok yakin kepada kematangan ahli-ahli pemuda untuk berbeza dan bersaing dengan sihat dalam pemilihan nanti," katanya.
Sementara itu Pemuda Amanah kawasan Kepong beranggapan pemimpin di peringkat nasional perlu lebih terbuka menerima kritikan agar sayap terbabit dapat lebih berkembang.

Bahkan mereka juga membayangkan menyokong gesaan agar muka baru dibawa memimpin Pemuda Amanah Nasional agar ia mampu menzahirkan idea yang segar.
Pun begitu Pemuda Amanah Kepong menegaskan usaha tersebut perlu dibuat dalam suasana rahmah dan matang.
"Seterusnya, ingatan penting juga diberikan kepada sesiapa sahaja yang bakal menerajui tampuk kepimpinan sayap Pemuda Amanah Nasional selepas ini agar lebih kuat bekerja, lebih inklusif, lantang bersuara, tegas berpendirian, cepat bertindak serta membawa pendekatan yang berbeza seiring imej nama Pemuda Amanah.
"Pemimpin yang bakal dilantik nanti juga harus berani menjalankan dasar baru di peringkat negeri dengan membiarkan jawatan tersebut diterajui anak tempatan yang lebih kenal keadaan setempat," katanya.
Dalam perkembangan lain Pemuda Amanah Kepong turut menyatakan pendirian untuk menyokong Amanah Mohamad Sabu kekal terus menerajui parti itu.
