Sarawak bakal perkenal sendiri ujian untuk pelajar tahun enam
Sarawak sedang mengusahakan pelaksanaan sistem penilaian tahun enam sendiri untuk sekolah awam negeri itu.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sawareak, Roland Sagah Wee Inn, sistem penilaian itu sama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang tidak lagi dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Dipetik Borneo Post, Sagah berkata, langkah tersebut diambil kerana Sarawak yakin peperiksaan tahun enam adalah satu-satunya cara untuk kerajaan menilai prestasi sebenar pelajar sekolah rendah.
Menurutnya penilaian tersebut perlu bagi menentukan sama ada seseorang pelajar itu perlu ditempatkan dalam aliran sastera atau sains apabila memasuki sekolah menengah.
“Biar kerajaan persekutuan berpegang pada dasarnya, tetapi pada masa sama biarlah negeri menjalankan sistem penilaian sendiri,” katanya.
Keputusan untuk memansuhkan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibuat pada 2011 namun hanya dilaksanakan pada 2021.
Ketika ini ujian standard untuk sekolah kerajaan ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diadakan semasa pelajar berada di tingkatan lima, dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di tingkatan enam.
Autonomi dalam menetapkan dasar pendidikan adalah antara perkara yang sedang dikendalikan oleh Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Akta Pendidikan 1996 telah memusatkan urusan pendidikan di Putrajaya.
Pada Ogos lalu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan bahawa autonomi dalam pendidikan untuk Sarawak masih akan mengambil masa. Dia juga tidak bersetuju untuk mengembalikan semula UPSR.
Sementara itu, Sagah berkata kementeriannya belum menerima sebarang maklumat berhubung kurikulum 2027 yang sedang dibangunkan Putrajaya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/5d5576ca6bce14f49c019810fa98c523.jpg)
