Watak anime Jepun popular Demon Slayer dan komik AS Teenage Mutant Ninja Turtles telah menjadi bahan perdebatan mengenai kewajaran menggunakan senjata mainan untuk "Minggu Solidariti Palestin".

Ini juga menyebabkan sebuah sekolah di Pandamaran, Selangor, mendapat perhatian kerana menganjurkan pertandingan cosplay untuk pelajarnya.

Cosplay ialah kegiatan berpakaian sebagai watak daripada filem, kartun, buku atau permainan video.

Sejak hujung minggu lalu, mereka yang mempertahankan penggunaan senjata mainan telah berkongsi gambar dari pertandingan itu.

Dua ahli parlimen PAS, Ahmad Fadli Shaari (Pasir Mas) dan Afnan Hamimi Taib Azamudden (Alor Setar), turut menyuarakan isu itu.

Ahmad Fadli menamakan sekolah itu di Dewan Rakyat semalam manakala Afnan menunjukkan gambar, tanpa menyebut sekolah itu.

Ia memaparkan pelajar bersama pedang mainan katana Jepun serta busur dan anak panah, semasa sidang media di parlimen.

Berdasarkan tangkap layar, pihak sekolah telah memuat naik gambar tersebut, yang tidak lagi tersedia di halaman Facbooknya pada 20 Okt.

'Perbandingan tak kena'

Malaysiakini tidak mendedahkan nama sekolah itu kerana pentadbirannya enggan mengulas perkara berkenaan.

Sementara itu, Adun Pandamaran Tony Leong (gambar, bawah) merasakan pemimpin PAS tersilap membandingkan pertandingan cosplay dengan penggunaan pistol mainan semasa minggu Palestin.

"Ini cosplay, hanya anime dan komik yang terlibat. Ini bukan perang antara negara, jadi ia berbeza," katanya kepada Malaysiakini.

Leong juga membidas ahli parlimen PAS kerana menyasarkan sekolah di Pandamaran walaupun acara cosplay perkara biasa di sekolah-sekolah Malaysia.

Adun DAP itu menegaskan walaupun dia menyokong perjuangan Palestin namun dia tidak bersetuju untuk mengadakan minggu solidariti di sekolah.

“Sekolah adalah untuk belajar. Tidak wajar melibatkan pelajar (dalam konflik Palestin-Israel)

"Lainlah orang dewasa, mereka lebih memahami keadaan dan boleh mengadakan perhimpunan dan sebagainya.

"Tetapi kanak-kanak tidak dapat memahami situasi itu. Adalah tidak betul untuk memberi mereka senjata mainan dan menyuruh mereka pergi berperang," katanya.

Leong juga mengkritik pemimpin PAS kerana memperkatakan isu cosplay ini dan menggesa orang ramai menilai sendiri antara dua kejadian itu yang mana dikaitkan dengan peperangan dan keganasan di dunia.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan minggu perpaduan untuk menerapkan nilai kemanusiaan dalam kalangan pelajar dan Kementerian Pendidikan telah memberi amaran terhadap penggunaan senjata mainan.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempersoalkan penggunaan senjata mainan itu dalam minggu solidariti Palestin.

[Baca berita asal]