Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penetapan tarif air: K'jaan dalam proses angkat Kertas Jemaah Menteri

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) kini dalam proses untuk mengangkat Kertas Jemaah Menteri berhubung pelaksanaan mekanisme penetapan tarif air yang baharu bagi dimuktamadkan di peringkat Kabinet.

Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata mekanisme itu, sekiranya dipersetujui, akan membenarkan operator air di setiap negeri untuk menentukan sendiri mekanisme penetapan tarif air tanpa perlu persetujuan peringkat persekutuan.

“Saya lihat ada pandangan yang hampir sama daripada kerajaan-kerajaan negeri rentas parti iaitu masalah air yang kita hadapi pada masa ini adalah kerana soal tarif. Ada yang (tarif air) tidak naik 40 tahun, terutamanya kerajaan sebelum ini telah benarkan kenaikan bukan domestik.

“Tetapi kita perlu juga (naikkan tarif air) sebab banyak negeri yang tidak ada banyak industri dan sektor komersial, mereka perlu kenaikan untuk sektor domestik itu. Alhamdulillah, persetujuan ini secara amnya dilihat rentas parti.

“(Menerusi) mekanisme ini, kita benarkan operator air menaikkan tarif, tidak perlu tunggu untuk bawa ke menteri selepas ini. Pada masa sama, kita juga kena mengkaji untuk melindungi pengguna B40 dan sebahagian M40,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata kementerian bersetuju untuk melaksanakan sambutan Minggu Perpaduan pada tahun hadapan yang akan diadakan di Johor.

Beliau berkata kementerian akan turut mempertimbangkan untuk memasukkan Program Rukun Negara di dalam program itu yang disambut setiap tahun.

Pada masa sama, katanya Kementerian Perpaduan Negara akan meneruskan beberapa program lain pada tahun hadapan, antaranya program eksplorasi Rukun Negara dan program 'Ini Warisan Kita'.

"Selain itu, program di bawah Jabatan Muzium Negara seperti program Citra Nusa@Muzium; Harmoni dan Program Promosi Perpaduan akan diteruskan.

“Kementerian akan memastikan peruntukan yang diluluskan dalam Belanjawan 2024 mengikut perancangan yang telah disusun bagi mencapai matlamat dan objektif yang disasarkan," katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS