PARLIMEN l Shafie Apdal (Warisan- Semporna) mahu isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan segera oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Jelasnya perkara itu telah tertangguh selama 60 tahun dan tak perlu lagi melalui proses rundingan.

Katanya pada tahun 2019 ketika dia menjadi ketua menteri Sabah, sebanyak 17 daripada 21 perkara telah dipersetujui, namun masih gagal dilaksanakan.

"Pada tahun 2019, tujuh belas perkara telah dipersetujui, tapi pelaksanaan belum ada, kalau ada (pelaksanaan) pun tak banyak.

"Kita nak bina negara, kita nak ikat jiwa mereka (rakyat). Sudah 60 tahun bila perjanjian ini dapat dilaksanakan.

"Ini bukan tuntutan baru, diminta oleh bapa-bapa kita (pemimpin terbabit membawa Sabah menyertai Malaysia)," katanya di Dewan Rakyat ketika mengemukakan soalan tambahan berkenaan.

Terdahulu berlaku perebutan antara Mumtaz Md Nawi (PN- Tumpat) dan Mohd Shafie ketika bangkit mengemukakan soalan tambahan berhubung isu MA63.

Timbalan Speaker, Ramli Mohd Nor memilih Mumtaz untuk mengemukakan soalan tambahan dan Shafie meminta diberi kepadanya selaku wakil rakyat dari Sabah.

Mumtaz kemudiannya memilih untuk memberi laluan kepada Shafie bertanyakan soalan mengenai isu MA63.

Menjawab pertanyaan Shafie, Ugak Anak Kumbong (GPS- Hulu Rajang) itu berkata kerajaan komited melaksanakan perjanjian itu.

Malah, perdana menteri turut mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa selain dibantu timbalan perdana menteri kedua.