Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memberi tempoh dua bulan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyatakan respon mereka terhadap lima cadangan yang dikemukakan baru-baru ini.

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata surat berkaitan akan dihantar kepada KKM sebelum diikuti dengan laporan lanjut mengenai isu pemerolehan kerajaan semsa kemuncak pandemik Covid-19 dikeluarkan.

"Selepas mengadakan prosiding maklum balas, kami akan membentangkan laporan tindakan susulan berhubung isu ini yang mengandungi maklum balas KKM terhadap syor PAC di parlimen," katanya pada sidang media bersama anggota lain badan itu di parlimen hari ini.

Pada 30 Okt lalu PAC mengeluarkan laporan yang antara lain menyorot mengenai kejanggalan dalam urusan pemerolehan lebih 130 mesin ventilator melalui sebuat syarikat tempatan.

Urusan tersebut, kata PAC, dijalankan tanpa sebarang perjanjian atau kontrak, malah ada komunikasinya dilangsungkan melalui WhatsApp saja.

Sebanyak 104 daripada 136 mesin yang dipesan itu didapati rosak dan tidak boleh digunakan.

PAC juga mendedahkan kerajaan mengalami kerugian RM505 juta akibat menerima kira-kira 8.5 juta vaksin Covid-19 yang telah tamat tempoh.

Ketiadaan perjanjian atau kontrak dengan pembekal menghalang kerajaan daripada mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan pampasan.

PAC juga mendedahkan kerajaan telah mengalami kerugian RM505 juta akibat vaksin Covid-19 yang telah tamat tempoh, termasuk kira-kira 8.5 juta dos yang luput menjelang 1 Jun lalu.

"Dalam setiap isu yang disiasat, dua laporan akan dihasilkan iaitu pertama, PAC akan memberikan rumusan dan syor terhadap isu berkenaan.

"Selepas itu, PAC akan membentangkan laporan kedua iaitu berhubung maklum balas KKM terhadap syor PAC.

"Kedua-dua laporan ini akan melalui lima mesyuarat sebelum ia dihasilkan serta dibentangkan di parlimen.

"Ia menunjukkan betapa PAC komited untuk membolehkan rakyat mengetahui apa yang dilakukan kerajaan terhadap segala rumusan dan syor yang dibuat," katanya.

Terdahulu Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata KKM mengambil maklum cadangan PAC dan berjanji untuk mengambil tindakan yang perlu bagi menambah baik proses tersebut pada masa depan.

“Saya juga yakin kita boleh mengambil pendekatan yang lebih tegas dan cekap untuk memastikan prosedur perolehan yang betul walaupun semasa kecemasan,” kata Zaliha.

Lihat Komen
ADS