Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu akan mengelola urusan parti itu di bahagian Kuala Kangsar dan Labuan selepas ahli parlimen mereka di situ memberikan sokongan kepada kerajaan.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata ia adalah langkah awal buat parti terbabit sebelum lembaha disiplin menentukan nasib kedua-dua ahli parlimen berkenaan.

Dua ahli parlimen yang menyatakan sokongan kepada kerajaan itu ialah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman.

Pada masa sama, Hamzah berkata, Radzi Jidin dilantik sebagai pengerusi Bersatu Wilayah Persekutuan bagi menggantikan Suhaili.

"Pelantikan ini berkuat kuasa serta-merta," katanya.

Iskandar Dzulkarnain mengejutkan ramai orang apabila tampil menyatakan sokongannya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 12 Ogos lalu dengan menjadikan kos sara hidup yang semakin meningkat di kawasannya sebagai alasan.

Dia berkata keputusannya itu juga bertujuan untuk menilai sama ada Anwar ikhlas dan mengotakan janjinya atau tidak dalam memberi peruntukan untuk ahli parlimen yang menyokong dasar kerajaan perpaduan.

"Saya percaya ekonomi negara perlu ditingkatkan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

"Oleh yang demikian, saya menyokong perdana menteri atas apa-apa usaha yang dilakukan untuk mengukuhkan ekonomi negara,” katanya.

Tiga minggu kemudian giliran Suhaili pula mengambil langkah sama.

Dia yang juga anggota MPT Bersatu berkata masalah rakyat di kawasan yang diwakilinya adalah antara faktor yang dipertimbangkan untuk memberikan sokongan kepada Anwar.

Dia turut menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.


Baca Apa kesan akta antilompat parti pada MP sokong Anwar?


Menurut Hamzah seluruh Ahli Parlimen Bersatu kini tetap beristiqamah bersama presiden mereka, Muhyiddin Yassin.

"Sebarang cubaan pihak luar untuk memecah-belahkan kesatuan parti melalui tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Labuan tidak akan berjaya," kataya.

Pada masa yang sama, tambah Hamzah, Bersatu amat komited dalam usahanya memperkasakan PN yang mendapat "sokongan besar" rakyat dalam PRU lalu.

"Justeru, Bersatu tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku disiplin dalam kalangan ahli, khususnya membabitkan ahli parlimen mahu pun ahli dewan undangan negeri," katanya.