PARLIMEN | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati 20 peratus kakitangannya mempunyai perasaan negarif terhadap tempat kerja masing-masing.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata dapatan itu diperolehi melalui kajian yang dijalankan oleh pasukan petugas khas terhadap lebih 100,000 responden.

Mereka itu, katanya, terdiri daripada pegawai dan kakitangan KKM.

Daripada semua responden berkenaan, kata Zaliha, 60 peratus mengaku mempunyai perasaan positif terhadap tempat kerja.

"Dua puluh peratus lagi memilih perasaan neutral, iaitu ini (positif) tidak, itu (negatif) pun tidak, manakala 20 peratus lagi mempunyai perasaan negarif di tempat kerja," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 bagi kementeriannya.

Terdahulu Zaliha berkata menjawab pertanyaan ahli parlimen yang membangkitkan isu gejala buli ke atas doktor baru.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata 20 peratus yang mempunyai pandangan negatif terhadap tempat kerja mereka itu merupakan angka yang tinggi.

Katanya beberapa syor diberikan oleh pasukan khas supaya langkah segera dapat diambil.

Sementara itu, Zaliha memaklumkan data peribadi rakyat negara ini dalam aplikasi MySejahtera dijamin selamat.

Jelasnya dalam apa juga aplikasi yang akan dibangunkan KKM keselamatan data merupakan perkara utama.