Banjir besar: 143 peniaga di Masjid Jamek rugi RM300,000
Kira-kira 143 peniaga di sekitar Jalan Melayu di kawasan Masjid Jamek, sebahagian besarnya penjaja kecil, kerugian kira-kira 300,000 apabila barangan jualan mereka rosak ditenggelami banjir besar Ahad lalu.
Kira-kira 143 peniaga di sekitar Jalan Melayu di kawasan Masjid Jamek, sebahagian besarnya penjaja kecil, kerugian kira-kira 300,000 apabila barangan jualan mereka rosak ditenggelami banjir besar Ahad lalu.
Daripada jumlah, barangan perniagaan milik kira-kira 13 peniaga hilang dihanyutkan banjir.
Sehubungan itu, Pengerusi Persatuan Usaha-Usaha Peniaga Usaha Kuala Lumpur, Syed Nor Azizul Syed Omar (foto) mendakwa, antara punca banjir tersebut adalah limpahan air sungai sewaktu hujan lebat melalui lubang longkang sedalam kira-kira tiga meter itu, yang tidak ditutup.
Beliau berkata, sudah setahun pihaknya membuat aduan kepada Jabatan Pengurusan Peniaga, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai masalah tersebut tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
Berikutan itu, Syed Nor Azizul berkata, pihaknya terpaksa menutup sendiri, lubang tersebut dengan hanya menggunakan tong sampah, bagi mengelak orang ramai terjatuh ke dalamnya.
Bercakap kepada pemberita beliau berkata, setiap kali hujan lebat, air akan melimpah keluar melalui lubang itu dan membanjiri kawasan sekitarnya yang memang mudah ditenggelami air.
Bagaimanapun, katanya, banjir Ahad lalu adalah yang terburuk pernah berlaku di kawasan tersebut yang mengakibatkan barangan perniagaan milik 100 peniaga di situ rosak.
Air sungai melempah
Katanya, peniaga yang paling teruk terjejas ialah mereka yang berniaga berhampiran tebing sungai di situ.
Sementara Syed Nor Azizul berkata, walaupun banjir sudah surat tetapi pihak DBKL tidak mengambil sebarang langkah untuk membersihkan kawasan terbabit.
Menurutnya, pihak persatuan akan memohon bantuan DBKL bagi pihak semua peniaga terbabit supaya mendapat modal pusingan bagi memulakan semula perniagaan masing-masing.
Sementara itu, ahli Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Abdul Rahman Abdul Hakim berkata, pihaknya akan membantu peniaga terbabit memohon melalui DBKL untuk mendapatkan bantuan daripada tabung bencana alam.
Beliau berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan bantuan RM5,000 bagi setiap peniaga terbabit, untuk memulakan perniagaan semula.
Pada ini, kataya, AMK sedang memantau kerosakan di setiap kedai di kawasan itu dan menganggarkan kerugian yang mereka alami.
Sementara itu, Ketua Penerangan AMK, Lau Tek Hai berkata, peniaga terbabit tidak layak memohon pinjaman peribadi kerana mereka tidak mempunyai dokumen yang diperlukan oleh bank.
Elak pinjam Along
Oleh itu, katanya, bagi mengelak mereka meminjan daripada pihak Along, AMK akan mengadakan pertemuan dengan pihak DBKL untuk berbincang mengenai bentuk bantuan yang boleh disalurkan oleh mana-mana jabatan kepada peniaga terbabit.
Menurut Lau, ada antara peniaga terbabit tidak mempunyai lessen. Oleh itu, beliau berharap pihak DBKL dapat menimbang memberi lesen dan mengesahkan kedudukan mereka untuk berniaga di kawasan tersebut.
Sementara itu, seorang peniaga terbabit, Ahmad Hussein berkata, air naik dengan cepat. Dalam masa kira-kira 15 minit sahaja kawasan tersebut sudah ditenggelami air banjir.
Beliau berkata, semua barangan jualannya jamtangan dan barangan kristal telah dihanyutkan arus banjir dan mengakibatkan kerugian kira-kira RM25,000.
Sehubungan beliau merayu badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan bantuan bagi meringan beban mereka.
Beliau juga berharap ada pihak bank yang bersedia memberi pinjaman jangka panjang tanpa mengenakan syarat yang ketat.

