Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MMA: Gaji pelayan restoran per jam lebih tinggi dari elaun 'on call' doktor
Diterbitkan:  Nov 4, 2023 6:25 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) hari ini melahirkan rasa kecewa selepas kerajaan enggan menaikkan elaun tugas atas panggilan (on call) pada hujung minggu untuk doktor.

Presidennya Dr Azizan Abdul Aziz menganggap maklum balas Kementerian Kesihatan - bahawa kadar elaun semasa adalah wajar - sebagai penghinaan kepada doktor dan pekerja penjagaan kesihatan.

Menurutnya, doktor dibayar RM220 untuk 24 jam bekerja (untuk bertugas on call pada hujung minggu), yang bermakna RM9.16 sejam.

“Adakah kerajaan sedar bahawa terdapat pelayan restoran di negara ini yang mendapat gaji lebih tinggi setiap jam berbanding doktor?

"Bertentangan dengan penjelasan kerajaan - jumlah itu dibayar untuk 24 jam kerja, yang tidak akan dibayar sekiranya doktor tidak bekerja, oleh itu RM220 perlu dibahagikan dengan 24 jam," katanya dalam satu kenyataan.

Azizan menjawab laporan berita semalam, berkata KKM telah menolak permintaan persatuan itu agar kerajaan menaikkan elaun on call hujung minggu doktor.

Kementerian dilaporkan menolak gesaan itu melalui surat kepada MMA dua minggu lalu, menurut Free Malaysia Today.

Kementerian dikatakan turut menyenaraikan beberapa elaun lain yang dinikmati oleh doktor.

Bagaimanapun, Azizan dalam kenyataannya mendakwa KKM telah memetik maklumat tidak tepat yang menimbulkan persepsi palsu kepada orang ramai.

Dia berkata kelayakan pelbagai elaun bergantung kepada jawatan dan pangkat doktor, dengan kebanyakan doktor tidak menerima elaun seperti yang dinyatakan KKM.

“Daripada maklum balas bertulis KKM kepada MMA, nampaknya orang yang berada di kedudukan untuk membuat keputusan mungkin kurang pemahaman yang jelas atau kehilangan maklumat tepat yang diperlukan untuk membuat keputusan mengenai cadangan kenaikan itu.

"Sekiranya keputusan (untuk menolak kenaikan elaun on call) dibuat tanpa merujuk kepada maklumat yang tepat, kami ingin meminta kerajaan menilai semula dan mempertimbangkan semula keputusannya berhubung cadangan kenaikan kadar elaun on call," katanya.

MMA juga mengingatkan kerajaan supaya tidak mengambil mudah kekecewaan di kalangan doktor dalam penjagaan kesihatan awam.

"Terdapat kebimbangan bahawa selain keletihan yang dialami ramai doktor ditambah dengan gaji yang rendah yang diperoleh, isu seperti elaun atas panggilan yang tidak stabil mungkin mencetuskan kekecewaan dan menyebabkan mereka berpindah ke luar negara.

"Doktor dalam penjagaan kesihatan awam tidak melihat kenaikan elaun on call selama lebih sedekad. Mengambil kira inflasi, kadar elaun on call harus dikaji semula setiap lima tahun," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS