Najib dibenarkan pulang ke Penjara Kajang
Bekas perdana menteri Najib Razak dibenarkan pulang ke Penjara Kajang setelah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dua hari lalu.
Najib sebelum ini dikejarkan ke HKL selepas mengalami demam panas pada 31 Okt.
Pada 2 Nov, pegawai khas Najib, Muhammad Mukhlis Maghribi, berkata ahli politik itu dijangkiti Covid-19 selepas diperiksa oleh doktor.
Mukhlis hari ini berkata keputusan ujian kali kedua yang dijalankan HKL terhadap Najib adalah negatif.
"Bagaimanapun HKL masih membuat pemantauan ke atas tahap kesihatan Najib sehingga 5 November (hari ini).
"Setelah doktor membuat pemeriksaan terakhir pada tarikh tersebut, Najib dibenarkan pulang ke Penjara Kajang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di situ setelah disabit bersalah atas pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/09/bea55cb3ed4be17f0d3bc4087bf94da1.jpg)
