Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi: Jabatan Pendidikan Sabah maklum kes cikgu ponteng sejak 2015

Jabatan Pendidikan Sabah (JPNS) mengambil maklum sejak 2015 tentang kes seorang cikgu di negeri itu didakwa ponteng kelas, kata seorang pegawai jabatan memberitahu mahkamah hari ini.

Fazli Abdul Rozan, yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Unit Bahasa Inggeris Sektor Pengurusan Akademik JPNS, berkata dia telah menerima aduan pada tahun itu tentang kegagalan cikgu Jainal Jamran untuk masuk ke kelas.

Namun, katanya ketika aduan itu dibuat dalam sebuah mesyuarat program English Teaching Assistant (ETA) Fulbright, tiada dokumen sokongan untuk membuktikan dakwaan tersebut.

Dia berkata demikian ketika perbicaraan kes saman oleh bekas pelajar Siti Nafirah Siman (gambar, bawah) terhadap Jainal di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu petang tadi.

Fazli, yang juga saksi plaintif ke-8 berkata aduan mengenai Jainal itu dibuat oleh dua pendidik bernama Ibrahim Jadoon dan Nurhaizah Ejab.

Menurutnya, mesyuarat itu sebenarnya untuk membincangkan isu kegagalan guru yang tidak memberi kerjasama dalam program ETA Fullbright dan bukan mengenai ketidakhadiran defendan pertama untuk mengajar di kelas.

Walaupun begitu, Fazli berkata dia telah bertindak atas aduan Ibrahim dan Norhaizah dengan meminta pegawai daripada Pejabat Pendidikan Daerah untuk menyiasat dakwaan mereka.

Ketika pemeriksaan balas, peguam persekutuan Fazriel Fardianshah Abdul Kadir menyoal Fazli adakah dia telah memaklumkan kepada Ibrahim dan Nurhaizah mengenai prosedur yang seharusnya diambil ekoran isu defendan pertama.

"Kita sudah maklumkan kepada penyelaras sekolah ETA, kita jelaskan tentang tatacara sebarang aduan yang dibuat.

"Ia harus ditujukan kepada pentadbiran sekolah dan PPD. Pentadbiran sekolah dan PPD perlu menyelesaikannya jika tidak, PPD dan JPN akan merujuk kepada unit integriti," katanya.

Sementara itu, Fazli yang kini ketua penolong pengarah kanan sektor perancang dan pengurusan JPNS, menafikan terdapat arahan Nurhaizah dan Jainal untuk berpindah sekolah berkaitan dengan kes ponteng ini.

Ketika disoal oleh peguam plaintif Shireen Sikayun, Fazli mengakui dia telah diarah oleh bekas pengarah pendidikan negeri Sabah, Maimunah Suhaibul untuk menghubungi Siti Nafirah pada November 2018.

Namun, dia menafikan tujuannya untuk menemui Siti Nafirah bertujuan menakut-nakutkannya supaya tidak meneruskan saman di mahkamah.

Siti Nafirah merupakan pelajar kelas 4 Perdagangan (4PD) di SMK Taun Gusi pada 2015.

Pada 30 Okt 2018, dia memfailkan saman terhadap gurunya Jainal kerana dikatakan ponteng kelas selama tujuh bulan pada 2015

Selain Jainal, dia juga menamakan pengetua sekolah ketika kes itu berlaku, SMK Taun Gusi, pegawai pendidikan daerah Kota Belud, pengarah pendidikan Sabah, ketua pengarah pelajaran, menteri pendidikan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Dia mendakwa kegagalan Jainal untuk hadir mengajar Bahasa Inggeris di kelas, serta defendan kedua untuk mengambil langkah munasabah bagi mengatasi perkara itu, mengakibatkan pelajar 4PD tidak bersedia untuk menghadapi peperiksaan yang ditetapkan oleh atau di bawah Akta Pendidikan 1996.

Perbicaraan kes akan bersambung esok.

Lihat Komen
ADS