PM dijangka jelaskan pendirian mengenai RUU AS
PARLIMEN | Perdana Menteri hari ini dijangka menyatakan pendirian kerajaan di berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan AS yang meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas.
Menurut aturan urusan mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang parlimen, soalan itu dikemukakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) dalam Waktu Pertanyaan Menteri mengenai rang undang-undang itu yang mengenakan sekatan terhadap pihak luar menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin.
Selain itu, Anwar Ibrahim dijangka menjawab soalan P Prabakaran (PH-Batu) mengenai jumlah yang dibelanjakan kerajaan untuk mempromosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa dari 2020 hingga kini.
Pada sesi soal jawab, Ronald Kiandee (PN-Beluran) dijangka meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini Eastern Sabah Security Command (ESSCom) dan usaha mempertingkat keupayaan aset serta tahap penguatkuasaan keselamatan sempadan.
Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) pula dijadual bertanyakan Menteri Perpaduan Negara sama ada Akta Hasutan dan Akta Komunikasi mencukupi bagi menghadapi isu 3R atau kerajaan berhasrat memperkenalkan RUU baru berkaitan keharmonian kaum.
Selesai sesi itu, sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan RUU Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian berkaitan.
Menurut takwim parlimen, perbahasan rang undang-undang di peringkat jawatankuasa itu akan berlangsung selama 12 hari hingga 27 Nov ini.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini bermula 9 Okt lalu dan bakal berlangsung selama 32 hari.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/dd9ea9df81f3928959e4a6da8a1f3f78.jpg)
