Hamas: Malaysia tak iktiraf apa-apa keputusan unilateral Washington
PARLIMEN | Malaysia tidak mengiktiraf sebarang keputusan mana-mana negara yang dibuat secara sepihak (unilateral), kata Anwar Ibrahim.
Menurut perdana menteri pendirian itu dibuat termasuk ke atas AS yang dalam proses meluluskan suatu rang undang-undang untuk bertindak ke atas negara atau individu yang menyokong kumpulan pejuang Palestin.
"Kita (Malaysia) hanya mengiktiraf keputusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang disebut multilateral," katanya.
Tambah Anwar pendirian atau keputusan dibuat Washington itu tidak akan mempengaruhi dasar atau keputusan kerajaan berhubung isu Palestin.
Menurut perdana menteri, Malaysia bertindak mengikut prinsip yang dipegang selama ini iaitu Hamas mempunyai hak yang sah terhadap perjuangan Palestin.
Untuk menjelaskannya, ahli parlimen Tambun itu memberi contoh perjuangan Kongres Kebangsaan Afrika (AFC) bersama Nelson Mandela berjuang membebaskan negara itu daripada dasar aparteid.
“Walaupun kita tidak mengakui (meratifikasi) Statut Rom (dan) maka tak boleh bawa (Israel) ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), tapi kita jelas memberi sokongan kepada mana-mana negara termasuk Palestin merujuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ke ICC,” katanya.
Minggu lalu, Dewan Perwakilan AS memutuskan untuk meluluskan rang undang-undang berhubung sekatan ke atas entiti asing yang menyokong Hamas dan Gerakan Jihad Islam di Palestin.
Susulan itu, Menteri Luar Zambry Abdul Kadir berkata kementerian akan meneliti secara menyeluruh kandungan rang undang-undang itu sebelum mengambil tindakan lanjut.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/dd0cd9b3a86c5193c94900938a719ff5.jpg)
