Lain diharap lain yang dapat.

Niat mufti Perlis Asri Zainul Abidin untuk mengutuk kekejaman Israel terhadap penduduk Gaza mengundang rasa tidak senang pengguna maya.

Semuanya kerana gara-gara tindakannya memetik nama pemimpin Nazi Adolf Hitler yang membunuh kira-kira enam juta orang Yahudi semasa peristiwa Holocaust.

“Adolf Hitler lebih tahu tentang mereka berbanding kita,” katanya.

Asri tidak mengulas panjang dalam status yang dimuatkan bersama video seorang kanak-kanak bernama Khalid al-Naji dengan mayat rakyat Palestin yang menjadi mangsa serangan Israel.

Bagaimanapun, ramai pengguna maya yang tidak selesa dengan kenyataan itu atas alasan Hitler bukanlah individu yang patut diangkat dalam sejarah.

“Kebencian kamu pada Yahudi lebih besar daripada cinta kamu sesama manusia,” kata seorang pengguna X.

Pengguna lain pula membangkitkan bahawa Hitler sedikit sebanyak mencetuskan penghijrahan orang Yahudi ke Palestin sehingga terbentuknya negara Israel.

Terlalu simplistik, kata Hanipa

Sementara itu, bekas timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin pula berkata kenyataan Asri atau juga dikenali sebagai Maza itu terlalu simplistik.

Katanya, isu Palestin merentas politik, bangsa dan malah agama.

Hanipa Maidin

“Malangnya Maza dilihat mengulas itu berdasarkan kaca mata agama semata-mata,” kata pemimpin Amanah itu kepada Malaysiakini.

Malaysiakini sudah menghubungi Asri melalui panggilan telefon dan pesanan teks tetapi tidak mendapat balasan, setakat ini.

Peperangan antara Hamas dan Israel sejak sebulan lalu telah mengorbankan lebih 10,000 nyawa.